Friday 28 November 2014

Catatan Rapsodi Menentang Mimpi-mimpi Dunia : Sebuah Jurnal Peribadi Rapsodi Dari Medini. (Prolog)

Masa aku baru sampai ke bandar pelabuhan ni 3 tahun lalu; aku tak pernah dapat sesuaikan diri. Tak kiralah apa waktu. Dari pagi sampai ke malam, ada saja benda yang tak kena bagi aku. Terasa asing. Semuanya asing. Budayanya lansung berbeza dari tempat di mana aku berasal. Gaya percakapan, bahasa tubuh, cara kehidupan, pemahaman terhadap sesuatu benda... semuanya! Boleh kata semuanya berbeza. Meskipun orang-orang di sini bercakap dalam bahasa yang sama seperti di tempat asal aku; tapi dialeknya sedikit berbeza. Kadang-kadang ada perkataan yang lansung aku tak faham. Tapi lama-kelamaan... setelah beradaptasi, aku dapat menyesuaikan diri dengan semua tu.

Nama aku Rapsodi. Tak kiralah walau macamana pun ejaannya; sama ada Rapsodi, ataupun Rhapsodi... bunyinya tetap sama. Cuma kalau di sini sering saja jadi pertikaian; hanya kerana sekeping huruf yang menyebabkan perbezaan ejaan. Orang-orang di bandar ini panggil aku Rhap. Jadi mulai itu aku sertakan sekali 'H' dalam ejaan nama aku.

Bandar ini namanya Karamutiara di Farapatara. 'Karamutiara' - nama bandar ini. 'Di Farapatara' lebih kepada merujuk - '...of Farapatara'. Farapatara tu gelaran lain bagi negara ni. Bahasa lama tak silap aku. Fara tu maksudnya angin. Patara tu tapak kaki / laluan. Jadi bandar ni boleh kata maksud nama dia sebagai 'Pulau Mutiara di Tapak Kaki Angin' atau 'Pulau Mutiara di Laluan Angin'. Ohh, lupa! Karamutiara tu maksudnya Pulau Mutiara. Kara tu pulau. Contohnya yang paling dekat dengan Karamutiara ni ialah Karabapa dan Karagunjon (sebutan : Karagunhon). Apa saja pulau, disebut dengan perkataan 'Kara'. Itulah serba sedikit maklumat nama geografi di negara Farapatara ni. Macam aku cakap tadi, Farapatara ni nama lain atau gelaran saja. Nama rasmi negara ni ialah Melsonik.

Melsonik sebuah negara yang tergabung dari kumpulan beberapa buah bandar. Tujuh bandar di tanah besar dan tiga bandar di atas pulau termasuklah Karamutiara. Karamutiara adalah antara bandar paling hujung dalam jajahan takhluk Melsonik; selain Karagunjon. Ia telah melepasi garisan tengah di antara peradaban Timur dan Barat. Melsonik sendiri adalah sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada dua peradaban iaitu timur dan barat. Maison, Pubulum, Agone, Riztopozoa, Chic (sebutan : Shick), Sevura, dan Karadil por Ter berada di bahagian barat manakala Karamutiara dan Karagunjon di bahagian timur. Bandar Kaihudongdoon (orang tempatan sebut Kaido saja) pula berada di tengah-tengah garisan ini. Maknanya Kaido sebahagiannya adalah timur dan sebahagiannya adalah barat. Budaya antara timur dan barat sudah bercampur berkurun lamanya di negara ini sehingga mencipta budaya baru yang tersendiri.

Aku? Aku berasal daripada Medini. Sebuah pekan kecil di bawah Empayar Adas (bersempena nama Raja Adas) yang terletak dibahagian timur dunia. Seorang budak ladang yang kerjanya memetik epal dan buah ciku ais. Yang gemar bermain tiup-tiup (alat muzik) di malam hari sambil melihat bintang-bintang. Tiada keluarga; sebatang kara. Yang ada cuma kawan-kawan dan seorang buah hati; Melodi namanya.

Bagaimana aku boleh tercampak ke Karamutiara?
Itu... satu cerita yang lain pula.




Mungkin peta ni tak berapa tepat; tapi sekurang-kurangnya inilah serba sedikit yang aku ingat tentang kedudukan geografi antara Medini dan Karamutiara.

Monday 17 November 2014

Pementasan Teater Mamak Jegey 2 : Superstar


PRODUKSI : TEATER MAMAK JEGEY 2 : SUPERSTAR
PENERBIT : PERSATUAN TEATER RESDONG'S & DEWAN BUDAYA, USM
TARIKH PEMENTASAN : 12 & 13 DISEMBER 2014
TEMPAT : AUDITORIUM DEWAN BUDAYA, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, P. PINANG
PAS MASUK : RM 15.00
TALIAN TIKET : 016 4717378 atau 012 5618434 (Hasrol)



Setelah kejayaan show yang pertama dalam 'Mamak Jegey 1 - Beg Merah, Padayappa, dan ...' lebih kurang setahun yang lalu, Persatuan Teater Resdong's dari Penang ini sekali lagi bekerjasama dengan Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia dalam menerbitkan siri kedua francais teater bergenre komedi konspirasi ini. Namun begitu, menurut pengarahnya ; Abu Musarrif Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Abu Mamu; Mamak Jegey 2 : Superstar bukanlah sekuel atau kesinambungan kepada kisah terdahulu dalam Mamak Jegey 1. Akan tetapi ia membawa satu cerita baru dalam senario yang berbeza. Cuma, cerita ini mengambil latar tempat dan latar masyarakat yang sama seperti kisah terdahulu.

              Secara umumnya, Mamak Jegey 2 masih mengisahkan kehidupan Mamak Jegey, seorang pengusaha warung nasi kandar yang taksub dengan hero filem Tamil, Rajanikanth. Cuma pada kali ini, ia lebih memfokus kepada watak-watak lain dalam siri ini. Senario cerita Mamak Jegey 2 berkenaan kekecohan dan riuh rendah yang berlaku apabila warung Mamak Jegey dipilih sebagai lokasi penggambaran filem dari produksi antarabangsa yang berpengkalan di luar negara. Mamak Jegey yang sememangnya sudah lama berhasrat untuk menjadi seorang bintang filem berusaha mendapat tempat agar dipilih sebagai pelakon utama filem tersebut yang dikhabarkan akan ditayangkan di Croatia, Costa Rica, Colombo, dan Republic of Korea, serta Trinidad & Tobago. Di sinilah konflik cerita ini berlaku. Apa yang berlaku seterusnya? Adakah Mamak Jegey berjaya menjadi hero filem tersebut? Atau adakah usaha pihak lain untuk menggagalkan usaha Mamak Jegey? Sama-sama kita saksikan pada 12 & 13 Disember ini di Auditorium Dewan Budaya USM.

               Teater ini bakal dilakonkan oleh artis-artis utara tanahair seperti seniman Imuda, Dekna AF, Shazli Ekzos Maharajalawak Mega 2014, Mamak Cak Rajalawak, dan Abu Mamu sendiri. Selain itu, pelakon-pelakon teater dari Pulau Pinang juga akan turut sama mewarnai persembahan ini; antaranya Lanun Resdong's, Tok Moh, Awie Resdong's, Nawi Mohd, dan ramai lagi.

Sunday 16 November 2014

Ulasan Teater 'Tanpa Lafaz Cinta'.

Yo!
Sebelum aku bermula, aku nak buat disclaimer bahawa ulasan ni tak disertai dengan foto kerana aku gagal mendapat shot yang menarik akibat tiada kamera canggih. Satu-satunya gambar yang ada ialah gambar belon. (???)


TAJUK : TANPA LAFAZ CINTA
PRODUKSI : BAKAWALEE PENANG
TARIKH :13 -16 NOVEMBER 2014 (ULASAN BERDASARKAN TARIKH TONTONAN 15  
                  NOV.) 8:30PM
LOKASI : PANGGUNG PELENGGANG CAHAYA, PUSAT PENGAJIAN SENI, USM.
TIKET : RM 10
DURASI : 1 JAM
PENGARAH : SHARIFAH JUAIRIAH SYED JAMAL
SKRIP : YUSOF BAKAR
PELAKON : FAZRIL IZZUAN & ARIANA MIKHAILA




PARAMETER
Pada jam lebih kurang 4.00 petang, aku bertolak ke Sungai Petani dengan menunggang motosikal bersama dua lagi rakan; berniat menghadiri majlis kahwin seorang sahabat. Perjalanan yang tidak dirancang. Malangnya hujan di tengah jalan dan kami terpaksa berpatah balik setelah lencun. Singgah di restoran lalu habiskan masa lebih 2 jam dengan berborak. Teringat akan rancangan dari seminggu awal untuk menonton teater, aku lantas pulang ke rumah; tukar baju, refresh diri zahir batin... bertolak ke PPC untuk menonton Tanpa Lafaz Cinta. Jam sudah 9.00pm ketika aku sampai. Latecomer! "Persembahan dah mula 10 minit lalu"; kata FOH yang jelita.

Itulah yang berlaku sebelum aku sampai di PPC dan menonton TLC.

Tapi kenapa aku mula dengan menceritakan semua ni?
Kerana dalam bukunya; 'Directing A Post-modern Theatre'; Jon Whitmore ada mengemukakan idea bahawa apa yang dilalui penonton beberapa jam sebelum menonton sesebuah persembahan teater akan mempengaruhi reaksi, penerimaan signifier, konsentrasi, dan dapatan penonton tersebut semasa persembahan sedang berlansung.

Seperti yang kita ketahui, teater adalah satu bentuk komunikasi dua hala antara pelakon dan penonton melalui proses aksi - interaksi secara tidak lansung. Proses penghantaran signifier (penanda) kepada penonton melalui aksi lakon biasanya berdepan dengan beberapa halangan dan gangguan. Salah satu gangguan tersebut adalah faktor dalaman (psikologikal, emosional, idea, pegangan...dsb.) dari penonton tersebut. Jadi, sebelum ada yang judgement balik ulasan aku ni; aku bagitau awal-awal yang dapatan aku adalah berdasarkan signifier yang aku dapat semasa show daripada komposisi keseluruhan pementasan - beserta dengan kejadian-kejadian yang berlaku sebelum aku menonton show TLC yang ada kemungkinan menjadi halangan dalaman proses penghantaran sistem tanda (signifier) dan penerimaan makna (signified).


LATAR
Persatuan Badan Kesenian Warisan P. Ramlee Pulau Pinang (Bakawalee Penang) adalah salah satu NGO teater berbahasa Melayu yang prolifik di P. Pinang. Misi Bakawalee : melahirkan masyarakat celik seni. Sekurang-kurangnya inilah yang aku dapat dari brosur pementasan. Jadi, dapat aku simpulkan bahawa pementasan ini lebih kepada proses aspresiasi seni teater. Target audience : Penonton baru teater. Juga penggiat yang baru nak berjinak-jinak dengan dunia teater. (Betulkan aku jika salah). Atas sebab itulah, majoriti ahli produksinya baik dari pengarah, pelakon, hingga ke kru adalah 'orang baru' dalam arena ini.

Untuk pementasan 15 November ini, pelakon yang beraksi adalah Fazril Izzuan ataupun Botak. Seorang bekas pelajar Tomato Performing Arts Academy dan juga Ariana Mikhaila, mungkin juga pelakon baru.

Untuk info, pementasan ini berlansung 4 hari dengan set pelakon yang berlainan dari 2 pengarah berbeza.


NASKHAH
TLC mengisahkan hal Amir dan Qaseh yang bertemu secara berkali-kali di sebuah bangku awam (?). Selalu bercakap hal-hal yang serius yang tiada lansung berkaitan dengan soal cinta walaupun dua hati ini sudah terpaut antara satu sama lain. Jatuh cinta tapi tak melafaz, akibatnya salah faham lalu berpisah. Apabila masing-masing sudah berusia (tua), akhirnya bertemu kembali dan barulah berani menyudahkan apa yang terbuku setelah berabad.

Premis cerita ini mudah. Tapi aku tak tahu ia boleh dikatogerikan dalam katogeri 'chick flick' ataupun tidak. Sebuah cerita cinta? Ya, ada. Tapi ia lebih kepada cerita tentang pertemuan...dan perpisahan. (Yang pertemuan balik setelah dah tua itu bukan fokusnya kerana dalam konteks binaan plot ia hanyalah sebagai peleraian).
Konflik cerita juga tak berat. Maksud aku, halangan yang diberikan penulis terhadap watak boleh diselesaikan dengan mudah jika watak mengambil aksi yang lain daripada apa yang direncanakan penulis. Perwatakan yang dicipta penulis melalui kedua-dua watak; aku boleh lihat dengan jelas. Ini kerana aku pejamkan sahaja mata dan menghayati bait-bait dialog yang dilontarkan. Menghadam apa yang aslinya dizahirkan penulis dalam naskhah - bukan yang dipertonton. Perbuatan ini samalah macam kau mendengar sebuah lagu untuk mendapat maksud lirik dan perasaan komposer tanpa melihat siapa penyanyinya atau apa yang dipersembah di atas pentas. Yang asli. Kerana kadang-kala apa yang kau dapat semasa menonton bukanlah buah fikiran ataupun idea yang cuba dilemparkan penulis akibat kegagalan pelakon menyampaikan maksud hati penulis. Tapi dialog yang dilontar itulah buah fikiran penulis (Sekurang-kurangnya jika pelakon tak memandai-mandai ubah dialog!)


LAKONAN
Seperti yang aku kata tadi, cerita ini mudah. Boleh difahami kerana binaan plot dia tidak memerlukan aksi-aksi fizikal yang menagih pelakon memberikan lakonan yang 'extra' dari sudut tenaga, emosi, gerak badan, pola lantai dan sebagainya. Namun hal ini boleh di'extra'kan jika pengarah memilih bentuk lain untuk menzahirkan naskhah ini. Akan tetapi, pengarah memilih bentuk realisme - lakonannya realisme. Aksinya juga masih di bawah corak realisme. Tidaklah mereka memilih untuk bersarkis atau bergimrama, apatah lagi membuat tarian tiang apabila babak marah dan kecewa contohnya.

Memang ada pada adegan-adegan tertentu mereka cuba bermain lakon tanpa suara. Berekspresi. Namun ekspresinya itu masih di dalam corak realisme. Belum lagi boleh dikatogerikan sebagai lakon fizikal kerana tubuh pelakon yang sebagai 'tools' itu belum dieksploitasi secara keseluruhan dan sebaiknya. Hanya sekerat-sekerat. Dan gerak fizikal itu juga gagal memberikan apa-apa makna dan 'signifier' yang signifikan juga tidak wujud. Disulami dengan lagu, adegan itu seolah-olah anda sedang menonton sebuah video klip karaoke (tanpa lirik). Amat baik untuk dinikmati adegan ini sekiranya anda meminati lagu yang dimainkan.

Soal pelakon, bagi aku kedua-dua pelakon ini tidaklah mengecewakan. Terutamanya bagi seorang pelakon baru. Mereka ada asas lakonan yang baik - lontaran vokal, postur tubuh, ekspresi muka, permainan pola lantai (blocking). Asas mereka cukup sempurna sebagai seorang pelakon. Mereka juga ada rupa yang menarik (boleh dikomersialkan). Cuma mungkin pengalaman sahajalah yang menjadi limitasi kepada tingkat lakonan mereka.

Nada yang dilontarkan mereka senada - gagal memahami subteks setiap dialog yang diucap.
Akibat nada suara yang senada ini, plot cerita agak sukar untuk dikembangkan. Kerana nada suara memainkan peranan mengubah emosi, seterusnya mengubah pergerakan cerita.
Tambah pula naskhah ini tidak memainkan plot-plot yang besar ataupun aksi-aksi fizikal untuk mengubah jalan cerita. Naskhah ini lebih kepada 'lingual based script'. Jadi, perbuatan mengucap dialog tanpa nada suara yang betul boleh mengakibatkan binaan konflik tidak kesampaian.

F.I ataupun Botak, sudah berjaya melakonkan wataknya. Asas beliau sebagai pelakon : Cukup. Sekurang-kurangnya usaha beliau menuntut ilmu lakon di TPA Academy menampakkan hasil. Pada aku, hanya masa dan pengalaman sahaja yang akan menjadi penentu kepada kualiti lakonan beliau. Cuma ada satu sahaja kesilapan major dalam lakonannya. Yang pada aku, pengarah juga harus memikul kesilapan ini. Analisis watak. Perwatakan Amir yang dilakonkan beliau tidaklah seperti apa yang digambarkan penulis dalam skrip. Bagaimana aku tahu? Melalui dialog-dialognya. Bagai ada satu kontradiksi antara dialog dengan aksi yang dipamer. Amir yang aku kenal melalui dialog bukanlah Amir seperti yang dipamer. Mungkin ini cara dia membawa watak tersebut? Tak! The devils always in the details! Sebagai rumusan, Botak berjaya sebagai pelakon kerana sudah lengkap 'tools'nya (hal-hal fizikal); tapi masih kurang dari sudut 'inner acting'nya (hal-hal yang berkaitan perwatakan watak, psikologi dsb).

A.M juga lengkap (lebih kurang) asas lakonnya. Suara, postur, gerak... semuanya boleh dikatakan baik. Cuma aku agak kurang gemar nada suara yang digunakan pada beberapa tempat. Contohnya, seperti waktu sedang marah atau memanggil Amir. Nada suara itu, bukanlah nada suara yang tepat untuk digunakan pada babak itu (secara peribadi). Terasa janggal. Signifier yang dihantar gagal memberi makna yang sepatutnya. Kelebihan, lakonan beliau lebih berjiwa daripada Botak biarpun aku masih gagal menghadam perempuan jenis apa Qaseh ini sebenarnya(?). Masalah aku dengan watak ini, soal ruang. Secara realiti, manusia ada berlapis-lapis jenis ruang antara dirinya dengan orang lain sewaktu dia sedang berkomunikasi. Ada ruang asing, sosial, peribadi, dan interpersonal (intim). Manusia wujudkan dinding dengan orang lain mengikut tahap keselesaan dia ketika bersama dengan orang tersebut. Secara logik, pada permulaan cerita... Qaseh dan Amir adalah orang asing. Jadi kedudukan mereka (secara fizikal) dan reaksi Qaseh (secara internal) terhadap Amir haruslah asing.

Aku dapat gambaran penulis macamana permainan ruang selari dengan pembentukan plot itu wujud. Secara asas, pada mulanya Amir dan Qaseh adalah orang asing - ruang fizikal dan internal juga haruslah asing. Tapi selari dengan pembentukan plot dan apa yang terjadi dari adegan ke adegan, ruang interaksi antara mereka akan semakin mengecil hingga masuk ke dalam zon intim. Dinding antara mereka semakin menipis. Apatah lagi masing-masing sudah punya rasa cinta (biarpun tak diluah).

Aku agak terkejut kerana pada adegan-adegan yang agak awal, Amir sudah menembusi jarak ruang orang asing dan memasuki ruang intim apabila wajahnya dihadap mata bertemu mata dengan Qaseh pada jarak yang sangat dekat. Akan tetapi, Qaseh tak rasa apa-apa!

Perumpamaan : Macam aku pergi tunggu bas kat bus stop depan School of Art, USM lepas tu aku nampak gadis yang aku tak kenal; then aku borak sampai muka aku dengan muka dia dalam jarak kurang sekaki... mata bertemu mata. Korang rasa apa gadis tu akan rasa? Kurang-kurang dia akan berpaling, tersipu-sipu malu dan situasi akan jadi awkward (krik....krik...) Inilah yang dipanggil reaksi. (Tapi dalam kebanyakan kes, gadis itu hanya akan tunduk pasrah dan meminta aku menjadi imamnya yang sah. Eh?) - Ok, gurau.

Di sini. Kegagalan A.M memberikan respon ataupun interaksi yang wajar dalam sesetengah adegan membuatkan aku gagal membaca perwatakan Qaseh ni.

Namun begitu, secara keseluruhannya dengan mengambilkira fakta bahawa Botak dan A.M adalah pelakon baru, dengan usaha yang dipamer serta asas lakonan yang berjaya... secara peribadi; lakonan mereka agak sukses. Nasihat dan cadangan : Cuba explore inner acting pula. Outer acting dah berjaya.

+lakonan 'aside' juga harus diperbaiki.


SINOGRAFI
Permainan kesan cahaya dan audio boleh dikatakan berjaya. Asas tetapi cukup. Tahniah kepada Leong selaku penata cahaya. Namun bagi kesan audio, boleh diterima cuma signifier yang diberi agak kurang menyumbang kepada pementasan. Soal pemilihan lagu dalam transisi babak kerap membangkitkan persoalan "Kenapa lagu ni?", dalam minda aku walaupun hati aku kata;"O.K lah tu lagu ni!" Yang ini namanya demand peribadi penonton (akibat penonton itu latarnya macam-macam). Haha.

Cuma, aku gagal dapat latar tempat. Menurut pengarah, keseluruhan babak berlaku di sebuah stesen LRT akan tetapi aku gagal mengesan hal itu dari komposisi sinografi. Lebih memberi nilai tambah sekiranya ada aural audio seperti di stesen LRT yang sebenar. Ini cuma cadangan, kalau tak ada pun tak apa.

Setting : sebuah bangku moden dan satu tiang belon(???) - ni belon yang aku cakap masa awal-awal tadi pasal gambar belon.
Centre metaphore yang aku dapat dari dua set ini : Kontemporari. Mungkin cerita ini based on cinta kontemporari. Tapi wataknya tidak pula begitu - agak konservatif.
Bangku yang berlaci menggambarkan situasi ini berlaku indoor di bawah tempat berbumbung - sesuai dengan stesen LRT.
Tiang belon menggambarkan aura-aura cinta (cinta dan belon adalah metafora klise dalam genre chick flick). Tapi kalau dari sudut latar tempat aku boleh rungkai yang somewhere dekat stesen LRT tu ada orang buat promosi apa-apa lalu gantung belon (Kalau ikut kod warna, promosi minggu konvokesyen USM!).

At all, sinografi show ni minimalis. Sesuai dengan persembahan yang hanya dilakon oleh dua orang. Jika diletak set yang besar-besar dan banyak kuantitinya; dikhuatiri figura kedua-dua pelakon ini akan tenggelam.


KESELURUHAN
Usaha Bakawalee Penang mementaskan teater ini sudah berjaya sebenarnya jika dinilai daripada tujuan asal pementasan dan mengambilkira dari sudut 'target audience' yang datang menonton show mereka. Biasanya, katarsis audien yang bukan tergolong dalam 'target audience' macam aku ni tidak valid untuk mengukur kejayaan sesebuah show itu. Kerana apa yang penting, matlamat pementasan mereka tercapai.
Akhir kata, ulasan ini adalah ulasan peribadi seorang follower teater yang datang menonton. Perbezaan pendapat mungkin berlaku dalam ulasan ini. Moga-moga ada perkara yang disentuh itu memberi manfaat.

RATING : 2.5 bintang daripada 5 - (Hanya untuk show pada 15 Nov. sahaja, bukan keseluruhan).