Tuesday 29 August 2017

Refleksi - 'Fragrance' dalam Siri Wayang diSINKEH

Wayang diSINKEH

Wayang diSINKEH merupakan satu platform siri persembahan teater dalam skala kecil yang dipersembah setiap hujung minggu (Jumaat - Ahad) selama 3 bulan. Dipersembah di sebuah studio  'blackbox' kecil beralamat di 105 Lebuh Melayu, Georgetown P. Pinang. Studio ini juga berkongsi ruang dengan sebuah rumah tetamu, SINKEH yang berperanan sebagai sumber kewangan menjana aktiviti seni studio. Projek ini dijalankan oleh REKA ART SPACE sdn. bhd. yang diketuai oleh Chee Sek Thim (Ang Tau Mui / The Sandpits : Womensis / Cakap Dapur). Beliau adalah seorang pengarah / pelakon teater yang juga merupakan ahli Five Arts Centre.


'Fragrance' dalam Siri Wayang diSINKEH

Fragrance (Mewangi) merupakan satu projek yang betul-betul aku bangunkan untuk siri Wayang diSINKEH. Biarpun secara rasminya (dalam penerbitan / hebahan / dokumentasi) siri Wayang diSINKEH 2017 adalah projek yang pertama kali diadakan; sebenarnya pembangunan projek ini telah berlaku dua tahun sebelumnya dengan beberapa siri bengkel dan projek pilot. Begitu jugalah dengan Fragrance, sebuah persembahan yang aku bangunkan daripada zero sehinggalah menjadi satu persembahan penuh, dan masih berevolusi.

Aku develop skrip ini pada tahun 2015 semasa bengkel bersama Chee Sek Thim. Peranan Reka Art Space adalah untuk membantu artis muda menjana projek mereka sendiri. Bengkel yang aku sertai itu pula adalah satu projek inkubator. Jadi kami memang betul-betul bermula dari zero. Konten projek yang diusulkan pada peserta pada waktu itu adalah : Local (Apa sahaja isu atau naratif berkenaan tempatan, khasnya P. Pinang).

Aku memilih 'urban legends in Penang'. Setelah berbolak-balik, terhasillah sebuah devise script 20-30 minit bertajuk 'Siapa Salbiah?'. 'Siapa Salbiah?' diperan oleh Nurul Fathin, Daniel Lee, dan aku sendiri.

Projek kedua daripada kesinambungan 'Siapa Salbiah?' adalah Rashomon. Sebenarnya Rashomon karya Kurasawa itu boleh dikatakan tidak terlibat lansung dengan projek yang sedang aku bangunkan. Cuma aku memilih untuk pentaskan skrip tersebut kerana satu sebab : Isu dalam Rashomon adalah sama dengan isu dalam 'Siapa Salbiah?'. Aku melantik Afiq Jo sebagai pengarah dan aku berperanan sebagai pelakon bersama 6 pelakon lain pada waktu itu (tidak semena-mena ia jadi projek yang agak besar!).

Beberapa bulan selepas itu, projek pilot siri Wayang diSINKEH dijalankan. Untuk ini, aku bongkar kembali skrip 'Siapa Salbiah?', bangunkan dan tulis semula. Hasilnya, jadilah skrip monodrama berdurasi satu jam yang aku namakan 'Bercakap dengan Salbiah'. Aku lamar Darynn Wee untuk berlakon dalam projek ini bersama Nazrul Dzulkifli (Tiow) sebagai pereka / teknikal. Persembahan yang berlansung selama 4 malam itu adalah julung-julung kali hasil tangan projek inkubator itu dipersembah kepada umum sebagai full length script.

Setahun kemudian, Siri Wayang diSINKEH berkembang dan ingin dibawa ke peringkat lebih tinggi pula sebagai sebuah siri tahunan. Segala rombakan dan perancangan yang lebih rapi pun dibuat, baik dari segi struktur program hinggalah pemasaran. Reka Art Space betul-betul punyai target jangka panjang dan tidak berhenti setelah satu-dua tapak sahaja! Maka, 'Bercakap dengan Salbiah' juga diperkemas, kerana ia merupakan salah satu skrip yang akan diaju serta dalam program ini sekali lagi.

 Aku buat beberapa rombakan ke atas skrip ini dan juga persembahannya. Memasukkan elemen-elemen 5 deria rasa dalam persembahan seperti yang dicadang Jon Whitmore dalam bukunya, Directing A Post-Modern Theatre. Elemen sentuh dan bau disusupkan dalam persembahan kali ini. Namanya juga ditukar daripada 'Bercakap dengan Salbiah' kepada 'Fragrance' (Mewangi). Ahli produksi juga menjadi semakin kecil, daripada tiga kepada dua (hanya aku dan Darynn kerana Tiow tidak boleh turut serta, produksi dua orang yang betul-betul untuk merendahkan kos dan memaksimakan keuntungan!) Pendek kata, ia adalah sebuah persembahan berlainan daripada yang sebelumnya dan tahun-tahun yang lepas biarpun ia mengambil premis / skrip yang sama.

Fragrance selepas itu

Feedback dan perkongsian idea yang aku dapat setelah pementasan yang paling baru ini membuka dimensi yang baru buat 'Fragrance'. Satu, kerana audiens yang hadir adalah dari muka baru dan demografi pasarannya berbeza dari yang sebelumnya. Jika sebelum ini dalam percubaan awal, yang hadir adalah dalam kalangan teman-teman. Akan tetapi setelah Wayang diSINKEH  dijenamakan, audiensnya banyak pula dalam kalangan peminat teater luar kawasan (dari K.L, J.B, dan negeri-negeri lain di Malaysia) dan juga pelancong-pelancong dari luar negara seperti Australia, Germany, U.K, dan negara Asia yang lain (sekadar menyebut beberapa). Feedback diberikan juga berbeza dan cadangan-cadangan idea dari sisi lain pula dilontar. Perspektif Fragrance menjadi lebih luas (juga global?).

Kedua, pengikut / penonton teater yang dari awal menonton 'Fragrance' dari proses ia dibangunkan semenjak 'Siapa Salbiah?' sehinggalah ia jadi yang terkini. Kelompok kedua ini adalah kelompok yang prihatin kepada proses dan mahu melihat sejauh mana sesebuah karya itu berkembang : dari kosong sehingga ia menjadi sebuah karya yang matang. Kelompok inilah yang benar-benar menghargai proses tumbesaran para artis muda dengan sumbangan buah fikiran mereka setiap kali projek yang sama diperbaharui. Mereka terlibat secara tidak lansung untuk menjadikan pementasan itu semakin baik pada pementasan di masa-masa akan datang. Kerana mereka sentiasa memberi input dan perbandingan kerana menyaksikan karya itu dilahirkan dan membesar.

Oleh kerana Wayang diSINKEH merupakan siri tahunan, masih ada ruang untuk melihat skrip ini dikembang dan diperbaiki menjadi matang - sehingga tiada ruang lagi untuk dibaiki (?). Atau... siri ini menjadi platform untuk aku asah bakat dan skil dalam seni persembahan khasnya dalam penulisan dan pengarahan.