Friday, 8 September 2017

Ulasan 'The Adventures of Alvin Sputnik : Deep Sea Explorer'

Amaran : Ini bukan review ilmiah dan lebih kepada rekod pengalaman peribadi penonton sahaja.





TAJUK : The Adventures of Alvin Sputnik : Deep Sea Explorer
PENERBIT : George Town Arts Festival
TARIKH PEMENTASAN : 30 (8.30 P.M) & 31 Ogos 2017 (2.30 P.M) 
                                             Workshop 31 Ogos 2017 (10.30 A.M)
TEMPAT : Loft 29, Lebuh Gereja, George Town, P. Pinang.
TIKET : RM 65 & RM 85
PELAKON : Sam Longley


Untuk acara tahunan George Town Arts Festival tahun ini, aku sempat curi-curi masa untuk saksikan beberapa persembahan dan pameran. Tapi pementasan yang paling menarik hati aku yang inilah : The Adventures of Alvin Sputnik : Deep Sea Explorer. Sebaik menyelak buku program GTF untuk acara tahun ini, aku tertarik dengan dua show dalam buku program itu iaitu puppet teater ini dan satu lagi, Hakanai (persembahan tari fizikal dengan projection mapping). Malangnya Hakanai jatuh pada hari sama dengan show aku yang juga berlansung sepanjang GTF. Nasib baiklah dapat tonton yang ini. Huhu... Terubat jugalah kekecewaan.

Aku memang macam itu: kalau tengok list performance yang banyak dan perlu buat pilihan yang mana harus aku hadir; biasanya aku akan terbeli dengan teknik pemasaran : brosur / poster / gambar / sinopsis, dan sebagainya. Cara aku buat keputusan mudah : Aku letakkan diri aku sama macam penonton-penonton yang lain - kalau promosi awal bersungguh-sungguh dan menarik hati aku, aku akan pergi. Soal kualiti persembahan nombor dua. Kerana itu hanya kita akan dapat setelah kita pergi menonton. Dari segi pemasaran, jika team pemasaran sesuatu persembahan itu telah buat kerja dengan baik dan menarik ramai penonton... tanggungjawab mereka dah selesai dan harus diberi kredit. Soal kualiti persembahan best ke tak best, itu jatuh pada team performer. Sebab itulah produksi teater ni kena serba-serbi detail, baik dari pra produksi sehinggalah pos produksi. Tak boleh tangkap muat. Sebab selain seni, ia juga adalah perniagaan.

Untuk persembahan ini, ternyata tidak mengecewakan. Baik dari kehadiran penonton dan kualiti persembahan yang dipersembah. Aku datang pada opening night - Fullhouse! Show ini adalah puppetshow oleh seorang performer - Sam Longley. Produksi ini datangnya dari Australia dan grup ini telah berkeliling ke beberapa tempat di seluruh dunia sebelum singgah membuat persembahan di GTF.

Jalan ceritanya mudah :
Pada masa hadapan, glasier mencair dan paras air laut menaik. Berbilion manusia mati dan yang terselamat... mereka tinggal di atas bumbung-bumbung menara dan bangunan tinggi. Nak dijadikan cerita, ada satu pasangan suami isteri, Alvin Sputnik dan Helena yang tinggal di atas atap sebuah rumah. Suatu hari, Helena jatuh sakit dan meninggal dunia. 

Apabila Helena meninggal, keluar bola roh bercahaya. Bola roh yang secara klisenya akan naik ke atas untuk ke syurga jatuh menjunam ke dasar laut. Jadi Alvin pun terjun kejar bola roh Helena itu. Menyedari dia tak mampu menyelam lebih dalam, Alvin menuju ke HQ survivor di sebuah pulau dengan menaiki botnya. Dia pergi ke HQ tersebut berpura-pura untuk menyertai misi mencari dunia baru. Ikut teori middle earth, kononnya, dalam kerak bumi ada satu lagi lapisan bumi yang boleh didiami. Jadi misi HQ ialah menghantar penyelam ke middle earth untuk letak bom. Middle earth ini akan terapung ke atas dan jadi pulau atau jadi lohong untuk sedut air macam lubang pada sinki setelah meletup kelak. Tapi Alvin sebenarnya sertai misi tu sebab nak dapatkan sut menyelam berteknologi tinggi - bukan untuk cari middle earth, tetapi kejar roh Helena.

Maka bermulalah pengembaraan Alvin dalam laut dan menjumpai beberapa masalah, juga memori-memori indah. Cerita panjang jadi pendek, Alvin terjumpa middle earth. Dalam saat genting sama ada mahu menyelamatkan roh Helena atau meletupkan middle earth (dan selamatkan dunia), Alvin terkorban dalam letupan namun berjaya selamatkan dunia. Dia akhirnya bahagia bersama Helena (dalam alam roh).

Persembahan ini boleh dikata sebagai multi-discipline. Dia ada lakonan, manipulasi puppet, dan juga animasi. Animasi digunakan untuk babak sukar dan plot yang memerlukan pace cepat dan laju. Puppet pula digunakan semasa babak dalam laut dan medium view. Bagi close up pula, aktor akan berlakon sebagai watak pada beberapa babak tertentu. Jadi penonton ada visual depth macam menonton filem biarpun ia adalah live show. Ini kerana penonton dihidangkan dengan teknik close up, mid, dan wide view. Kadangkala, siap ada pan dan tilt up lagi macam dalam teknik skrin. Untuk itu, ia membuatkan penonton tak rasa bosan. Teknik pementasan ini adalah yang paling sesuai digunakan aku rasa sebab rata-rata yang tonton adalah kanak-kanak.

Dialognya pula tak banyak kerana ia banyak bermain dengan visual. Tetapi cerita disampaikan dalam bentuk nyanyian dan muzik. Setnya, satu kelir dengan dimensi berbentuk bulat di tengah. Kiri dan kanan pula silih berganti jadi scene dengan miniature-miniature bangunan ataupun lautan. Sesekali teknik shadow puppet juga digunakan.

Show berdurasi 43 minit ini capture my eyes for the whole 43 minutes! Tak sesaat pun mata aku berganjak. Tambah pula aku dapat lokasi tempat duduk yang boleh consider as one of the best spot. Jadi memang betul-betul puas hati.

Overall, show ni aku rasa berjaya kalau dikira yang target audience nya adalah kanak-kanak. Ini kerana naratifnya adalah berkenaan sesuatu isu yang besar (pemanasan global / pencemaran alam) akan tetapi disampaikan dengan cara yang paling subtle. Tambah pula, esoknya itu mereka adakan bengkel untuk tambah input-input berguna kepada kanak-kanak yang ikut serta.

Aku pula, tersenyum sepanjang show sampai balik ke rumah. Sebab plotnya manis gila. Satu naratif love story yang simple dan minimal tetapi romantis. Lebih romantis dari Twilight Saga! lol






Tuesday, 29 August 2017

Refleksi - 'Fragrance' dalam Siri Wayang diSINKEH

Wayang diSINKEH

Wayang diSINKEH merupakan satu platform siri persembahan teater dalam skala kecil yang dipersembah setiap hujung minggu (Jumaat - Ahad) selama 3 bulan. Dipersembah di sebuah studio  'blackbox' kecil beralamat di 105 Lebuh Melayu, Georgetown P. Pinang. Studio ini juga berkongsi ruang dengan sebuah rumah tetamu, SINKEH yang berperanan sebagai sumber kewangan menjana aktiviti seni studio. Projek ini dijalankan oleh REKA ART SPACE sdn. bhd. yang diketuai oleh Chee Sek Thim (Ang Tau Mui / The Sandpits : Womensis / Cakap Dapur). Beliau adalah seorang pengarah / pelakon teater yang juga merupakan ahli Five Arts Centre.


'Fragrance' dalam Siri Wayang diSINKEH

Fragrance (Mewangi) merupakan satu projek yang betul-betul aku bangunkan untuk siri Wayang diSINKEH. Biarpun secara rasminya (dalam penerbitan / hebahan / dokumentasi) siri Wayang diSINKEH 2017 adalah projek yang pertama kali diadakan; sebenarnya pembangunan projek ini telah berlaku dua tahun sebelumnya dengan beberapa siri bengkel dan projek pilot. Begitu jugalah dengan Fragrance, sebuah persembahan yang aku bangunkan daripada zero sehinggalah menjadi satu persembahan penuh, dan masih berevolusi.

Aku develop skrip ini pada tahun 2015 semasa bengkel bersama Chee Sek Thim. Peranan Reka Art Space adalah untuk membantu artis muda menjana projek mereka sendiri. Bengkel yang aku sertai itu pula adalah satu projek inkubator. Jadi kami memang betul-betul bermula dari zero. Konten projek yang diusulkan pada peserta pada waktu itu adalah : Local (Apa sahaja isu atau naratif berkenaan tempatan, khasnya P. Pinang).

Aku memilih 'urban legends in Penang'. Setelah berbolak-balik, terhasillah sebuah devise script 20-30 minit bertajuk 'Siapa Salbiah?'. 'Siapa Salbiah?' diperan oleh Nurul Fathin, Daniel Lee, dan aku sendiri.

Projek kedua daripada kesinambungan 'Siapa Salbiah?' adalah Rashomon. Sebenarnya Rashomon karya Kurasawa itu boleh dikatakan tidak terlibat lansung dengan projek yang sedang aku bangunkan. Cuma aku memilih untuk pentaskan skrip tersebut kerana satu sebab : Isu dalam Rashomon adalah sama dengan isu dalam 'Siapa Salbiah?'. Aku melantik Afiq Jo sebagai pengarah dan aku berperanan sebagai pelakon bersama 6 pelakon lain pada waktu itu (tidak semena-mena ia jadi projek yang agak besar!).

Beberapa bulan selepas itu, projek pilot siri Wayang diSINKEH dijalankan. Untuk ini, aku bongkar kembali skrip 'Siapa Salbiah?', bangunkan dan tulis semula. Hasilnya, jadilah skrip monodrama berdurasi satu jam yang aku namakan 'Bercakap dengan Salbiah'. Aku lamar Darynn Wee untuk berlakon dalam projek ini bersama Nazrul Dzulkifli (Tiow) sebagai pereka / teknikal. Persembahan yang berlansung selama 4 malam itu adalah julung-julung kali hasil tangan projek inkubator itu dipersembah kepada umum sebagai full length script.

Setahun kemudian, Siri Wayang diSINKEH berkembang dan ingin dibawa ke peringkat lebih tinggi pula sebagai sebuah siri tahunan. Segala rombakan dan perancangan yang lebih rapi pun dibuat, baik dari segi struktur program hinggalah pemasaran. Reka Art Space betul-betul punyai target jangka panjang dan tidak berhenti setelah satu-dua tapak sahaja! Maka, 'Bercakap dengan Salbiah' juga diperkemas, kerana ia merupakan salah satu skrip yang akan diaju serta dalam program ini sekali lagi.

 Aku buat beberapa rombakan ke atas skrip ini dan juga persembahannya. Memasukkan elemen-elemen 5 deria rasa dalam persembahan seperti yang dicadang Jon Whitmore dalam bukunya, Directing A Post-Modern Theatre. Elemen sentuh dan bau disusupkan dalam persembahan kali ini. Namanya juga ditukar daripada 'Bercakap dengan Salbiah' kepada 'Fragrance' (Mewangi). Ahli produksi juga menjadi semakin kecil, daripada tiga kepada dua (hanya aku dan Darynn kerana Tiow tidak boleh turut serta, produksi dua orang yang betul-betul untuk merendahkan kos dan memaksimakan keuntungan!) Pendek kata, ia adalah sebuah persembahan berlainan daripada yang sebelumnya dan tahun-tahun yang lepas biarpun ia mengambil premis / skrip yang sama.

Fragrance selepas itu

Feedback dan perkongsian idea yang aku dapat setelah pementasan yang paling baru ini membuka dimensi yang baru buat 'Fragrance'. Satu, kerana audiens yang hadir adalah dari muka baru dan demografi pasarannya berbeza dari yang sebelumnya. Jika sebelum ini dalam percubaan awal, yang hadir adalah dalam kalangan teman-teman. Akan tetapi setelah Wayang diSINKEH  dijenamakan, audiensnya banyak pula dalam kalangan peminat teater luar kawasan (dari K.L, J.B, dan negeri-negeri lain di Malaysia) dan juga pelancong-pelancong dari luar negara seperti Australia, Germany, U.K, dan negara Asia yang lain (sekadar menyebut beberapa). Feedback diberikan juga berbeza dan cadangan-cadangan idea dari sisi lain pula dilontar. Perspektif Fragrance menjadi lebih luas (juga global?).

Kedua, pengikut / penonton teater yang dari awal menonton 'Fragrance' dari proses ia dibangunkan semenjak 'Siapa Salbiah?' sehinggalah ia jadi yang terkini. Kelompok kedua ini adalah kelompok yang prihatin kepada proses dan mahu melihat sejauh mana sesebuah karya itu berkembang : dari kosong sehingga ia menjadi sebuah karya yang matang. Kelompok inilah yang benar-benar menghargai proses tumbesaran para artis muda dengan sumbangan buah fikiran mereka setiap kali projek yang sama diperbaharui. Mereka terlibat secara tidak lansung untuk menjadikan pementasan itu semakin baik pada pementasan di masa-masa akan datang. Kerana mereka sentiasa memberi input dan perbandingan kerana menyaksikan karya itu dilahirkan dan membesar.

Oleh kerana Wayang diSINKEH merupakan siri tahunan, masih ada ruang untuk melihat skrip ini dikembang dan diperbaiki menjadi matang - sehingga tiada ruang lagi untuk dibaiki (?). Atau... siri ini menjadi platform untuk aku asah bakat dan skil dalam seni persembahan khasnya dalam penulisan dan pengarahan.



Wednesday, 15 March 2017

A Fishbowl Conversation



What is a fishbowl conversation? I have joined this type of event in SINKEH on March, 2017 in young artists gathering. Here explained what it is...

A fishbowl conversation is a form of dialogue that can be used when discussing topics within large groups. Fishbowl conversations are sometimes also used in participatory events such as unconferences. The advantage of Fishbowl is that allows entire group to participate in a conversation. Several people can join the discussion.

Four to five chairs are arranged in an inner circle. This is the fishbowl. The remaining chairs are arranged in concentric circles outside the fishbowl. A few participants are selected to fill the fishbowl, while the rest of the group sit on the chairs outside the fishbowl. In an open fishbowl, one chair is left empty. In a closed fishbowl, all chairs are filled. The moderator introduces the topic and the participants start discussing the topic. The audience outside the fishbowl listen in on the discussion.
In an open fishbowl, any member of the audience can, at any time, occupy the empty chair and join the fishbowl. When this happens, an existing member of the fishbowl must voluntarily leave the fishbowl and free a chair. The discussion continues with participants frequently entering and leaving the fishbowl. Depending on how large your audience is you can have many audience members spend some time in the fishbowl and take part in the discussion. When time runs out, the fishbowl is closed and the moderator summarizes the discussion.
An immediate variation of this is to have only two chairs in the central group. When someone in the audience wants to join the two-way conversation, they come forward and tap the shoulder of the person they want to replace, at some point when they are not talking. The tapped speaker must then return to the outer circles, being replaced by the new speaker, who carries on the conversation in their place.
In a closed fishbowl, the initial participants speak for some time. When time runs out, they leave the fishbowl and a new group from the audience enters the fishbowl. This continues until many audience members have spent some time in the fishbowl. Once the final group has concluded, the moderator closes the fishbowl and summarizes the discussion.




'Fish Bowl Conversation' oleh Five Arts Centre


Pada 10 Mac 2017 yang lalu bertempat di SINKEH 105 Lebuh Melayu Georgetown bermula jam 4.30 petang hingga 6.30 petang telah berlansung satu program yang dinamakan sebagai 'Fish Bowl Coversation'. Satu program perbincangan dengan aturan dua lapisan bulatan dengan di titik paling tengahnya adalah sang moderator yang mengepalai perbincangan pada petang itu. Moderator pada petang itu ialah Janet Pillai, seorang aktivis dan penggiat teater yang tidak asing lagi di Malaysia. Beliau juga adalah bekas pensyarah saya ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia dulu.

Barisan lapisan kedua selepas Janet Pillai ialah barisan peserta program yang akan membahas topik perbincangan yang dibuka. Mereka bebas bersuara dan bertukar pendapat bersama moderator dan semua hadirin. Manakala barisan lapisan ketiga atau terakhir dibarisi peserta program yang tidak mahu ikut serta membahas akan tetapi berfungsi sebagai pemerhati dan pendengar 'Fish Bowl Conversation'.

Namun begitu, jika ada antara peserta barisan lapisan ketiga ini mahu melontar idea serta ikut sama membahas topik yang dibincangkan, mereka boleh saja masuk ke lapisan barisan kedua dan duduk di satu kerusi yang telah dikhaskan kosong. Jika perkara ini terjadi, maka peserta di barisan lapisan kedua yang tidak berminat untuk meneruskan sesi boleh berundur ke lapisan ketiga dan berfungsi sebagai pemerhati pula. Wajib ada satu kerusi kosong di barisan lapisan kedua agar sesiapa yang mahu ikut serta boleh terus masuk perbincangan tanpa mengganggu sesiapa atau 'curi-curi' menyampuk dari barisan ketiga. Tujuan aturan seakan 'balang ikan' ini adalah untuk mewujudkan suasana perbincangan yang terkawal dan setiap individu yang melontar idea lebih bertanggungjawab dengan buah fikiran yang dikemukakan. Rujuk Fishbowl Conversation jika mahukan penjelasan lanjut.

Ini adalah kali pertama saya didedahkan dengan cara perbincangan yang sebegini. Topik yang dibahaskan pada petang itu ada dua :

1. Proses Jana Kreatif dalam Pembuatan Drama
2. Sistem Sokongan untuk Proses Kreatif

Perbincangan dilakukan dalam Bahasa Inggeris walaupun tidak ada sesiapa yang menetapkan bahasa apa yang harus digunakan. Ia lebih kepada majoriti peserta yang selesa berbahas dalam Bahasa Inggeris termasuk saya.

Peserta perbincangan terdiri daripada artis-artis muda yang terlibat dengan program 'Trampolin' - satu program sokongan untuk artis muda. Dianggotai tenaga kerja kreatif dan pengurusan Produksi TIGA, Plastic City dan juga saya yang mewakili Produksi Rashomon (Plastic City dan Rashomon di bawah program 'Initiate, Develop, Perform' oleh REKA ART SPACE).

Antara peserta pada petang itu adalah June Tan, Hui Ting (Kakak), Siew Yin, Syamsul Azhar, Sharifah Aleysha, Sharifah Aryana, Syarifah Amani, Andy Darrel Gomes, Arshad Adam, Anissa Azis, Goo Zhuan Xuan, Tan Lay Heong, Dub Lau, Gaik Cheng Koe, dan Noor Rizuwan.

Sesi perbincangan ini berlansung selama lebih kurang dua jam dengan masa rehat lima minit di antara topik pertama dan kedua. Pelbagai perkongsian idea dan buah fikiran dilontarkan dalam perbincangan ini. Perbahasan, lontaran masalah, dan usul yang dibincangkan sedikit sebanyak membuka minda saya yang sudah lama tidak menyertai acara dialog sebegini.

Topik pertama lebih menjurus kepada kelompok tenaga kerja kreatif seperti penulis skrip, pengarah, pereka, dan pelakon. Manakala topik perbincangan kedua pula lebih menjurus kepada kelompok tenaga kerja pengurusan seperti penerbit, pengurus projek, pengurus pentas, dan krew pentas. Ia adalah sesuatu perbincangan menarik apabila setiap unit dalam produksi boleh bercakap dan berkongsi sesuatu dari sudut pandang mereka. Kepada saya secara peribadinya, sesi ini membawa satu getaran positif (positive vibes) untuk saya guna dan aplikasi apabila membentuk satu kumpulan produksi di masa hadapan kelak. Teater adalah satu bentuk seni yang aneh dan unik di mana sekumpulan manusia yang berlainan kepakaran, bidang, dan fikiran harus bekerja bersama-sama dalam satu unit.

Oleh kerana peserta perbincangan ini terdiri daripada artis-artis muda (majoritinya berumur tidak lebih dari 30 tahun atau 10 tahun pengalaman) yang bertingkah sesama sendiri dalam ruang bulat seperti satu balang ikan yang besar, ada ketikanya kami berpusar pada satu idea yang sama kerana dibatas limitasi pemikiran dan pengalaman. Apabila melihat keadaan ini berlaku, moderator; Janet Pillai dan pemerhati luar; Chee Sek Thim akan menyuntik sedikit idea untuk kami ambil dan menghangatkan semula perbincangan.

Dalam suasana petang yang sedikit mengantuk itu saya di barisan lapis ketiga pada ketika itu liar berimaginasi :

Kami seolah-olah anak-anak ikan emas yang berkocak kegirangan (bertingkah melontar idea dan pendapat). Apabila masing-masing sudah lesu dan buntu, air jadi tenang semula. Kemudian datang satu 'superior beings' (manusia / dalam terma ini mentor-mentor teater kami) datang melontar satu dua butir makanan ikan (idea). Apabila dilontar makanan ikan, kami jadi aktif semula dan terus berkocak (berkarya) sehingga kami membesar jadi ikan emas yang cantik!

Saya tahu, perumpamaan ini sedikit aneh tetapi itulah imaginasi liar saya pada petang itu ketika saya duduk di lapisan luar. Secara tak semena-mena wajah rakan-rakan lain yang membahas ketika itu saya lihat dah bertukar menjadi ikan emas dengan buih-buih udara keluar dari mulut. Hal ini membuatkan saya tiba-tiba tersenyum sendiri. Maafkan saya tentang hal ini, imaginasi saya memang kuat dan kadangkala merepek syaitan.

Namun, apa yang saya cuba sampaikan adalah kami, artis-artis muda ini pada satu ketikanya buntu di satu titik dalam berkarya dan tidak bergerak ke hadapan. Jadi dengan bantuan mentor-mentor yang lebih berpengalaman ini memang benar membantu kami bergerak ke hadapan dengan perkongsian ilmu dan pengalaman mereka. Sekurang-kurangnya, itulah yang saya rasa selepas terlibat dengan program 'Initiate, Develop, Perform.' dulu.

Oleh itu, hal-hal membajai artis-artis muda dengan sistem mentor - mentee oleh aktivis yang lebih senior harus diteruskan menerusi program-program sebegini. Pada saya, dalam lapangan teater; ini sajalah cara yang paling efektif terutamanya bagi seseorang penggiat yang tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang teater dan persembahan.



June Tan bersama-sama dengan peserta 'Fish Bowl Conversation'.
Tak... Anjing tu tak ikut serta; jika ada sesiapa bertanya.




Semasa sesi perbincangan sedang berlansung. Tatkala itulah imaginasi liar
saya tentang ikan emas terbit di benak fikiran.




Janet Pillai semasa mendengar hujah peserta. Reaksi muka seperti ini jugalah beliau cerminkan suatu ketika dulu semasa saya 'goreng' presentation dalam kelas beliau yang disudahi dengan ulasan, "Bullshit!" selepas presentation saya tamat.




Sharifah Aleysha (baju putih) berkongsi cara beliau mendapatkan ilham untuk menulis. Kakaknya, Sharifah Amani (di belakang) buat muka pura-pura faham.














Monday, 27 February 2017

Kerana Kamu Istimewa (Sebuah penghargaan kepada teman OKU)

Kerana Kamu Istimewa

(Sebuah penghargaan kepada teman OKU)

Skrip : Noor Rizuwan



Opening.
Muzik dimainkan (seruling / akustik) Lagu ‘Namunku Punya Hati’. Masuk Narator 1, 2, dan 3 dalam gerak stylize yang menggambarkan kepayahan OKU bergerak / menjalani kehidupan seharian. Namun gerakan dipertonton dalam koreografi yang harmoni dan tidak terlalu realistik :

Narator 1 berkeadaan seperti OKU buta - Menutup mata dengan kedua belah tangan, 
Narator 2 seperti OKU cacat pendengaran - Menutup telinga dengan kedua belah tangan, Narator 3 seperti OKU tempang kakinya - Menunjukkan kepayahan bergerak, kaku.



Narator 3 :
Tidak ku pinta lahir ke dunia… (Menyanyi).

Narator 2 :
Tidak ku duga… (Menyanyi).

Narator 1 :
(Potong). Tidak ku pinta, tidak ku duga, tidak ku sangka. Tidak ada siapa pun yang menjangka.

Narator 3 :
Tidak aku duga bertongkat begini. Tak mampu melangkah dengan sempurna, berlari…

Narator 2 :
Tidak ku pinta kurang sebegini. Hendak memahami, tak boleh ku dengari.

Narator 1 :
Bukan aku sengaja, meraba dalam gelita. Cuma pancaindera, tak sempurna nak melihat rupa dan warna.

Narator 1 :
Mungkin kami berbeza, tak sama seperti kalian semua.
(Narator 2 & 3 : Kerana kami istimewa!)

Narator 2 :
Tapi masih lagi seorang manusia. Punya impi hati yang sama, rasa yang serupa.
(Narator 1 & 3 : Kerana kami istimewa!)

Narator 3 :
Mahu berjaya di dunia, di akhirat bertemu syurga.
(Narator 1 & 2 : Kerana kami istimewa!)



Muzik sedikit rancak dimainkan. Narator 1, 2, dan 3 bergerak kembali dalam gerak stylize seperti opening tetapi dalam tempo yang lebih agresif. Gerak kemudiannya bersambung ke koreografi lakon fizikal (slapstik) :

1.     Narator 1 jalan bertongkat dan teraba-raba seperti OKU buta. Narator 2 & 3 mengejek, mengumpat dan mengetawakan (tanpa suara). Kemudian mengusik Narator 1 dengan mencuit badannya dan kemudian berlari.

2.     Narator 3 berjalan dengan kepayahan seperti OKU tempang kaki. Narator 1 & 2 mengajuk cara Narator 3 berjalan di belakangnya. Apabila Narator 3 menoleh ke belakang, mereka buat seperti tiada apa-apa berlaku.
Narator 1, 2, & 3 gerak stylize semula dan kemudian berdiri dalam spot masing-masing.



Narator 2 :
Teringat aku di zaman kecil. Ketika waktu tak tahu apa. Bermain riang bersama rakan sebaya. Macam tiada beza. Mungkin ketika itu aku naif tentang dunia, melihat dunia seperti mungkin seadanya. Adil dan saksama.

Tapi kemudian berubah, apabila meningkat dewasa dan bersekolah… baru aku perasan aku berbeza. Aku tak tahu angka, mengeja ataupun membaca. Saat semua gembira belajar bersama, hanya aku rasa teraniaya. Aku telah cuba! Telah cuba menutur suku kata. Mengeja. Membaca. Namun semuanya sukar bagiku. Tulisan, huruf, dan angka umpama mahu membunuh aku, membenci aku!

Mereka kata aku bodoh! Kawan-kawan mengejek aku. Cikgu menyalahkan aku. Ibu mengharap aku mampu. Tetapi aku tak boleh! Aku tak tahu kenapa. Aku dah cuba!

Aku… disleksia. Aku… istimewa.

Narator 1 :
Warna dan rupa? Aku tak tahu. Aku OKU buta. Lahir tanpa kornea. Tapi aku tahu membaca  Braille. Syukur aku dihantar ke sekolah khas untuk orang cacat penglihatan, dengan bantuan kerajaan. Belajar segala ilmu seperti pelajar normal yang lain. Mungkin cara belajar sedikit berbeza, tapi tujuannya tetap sama. Mahu menjadi orang berilmu dan berjaya. Tapi saat aku nak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi; ada suara-suara berbunyi :

“Alaaa… Man, tak payahlah kau belajar tinggi-tinggi. Pandai baca tulisan orang buta tu pun dah cukup baik.”

“Man, hang lepaih habih ngaji sekolah esok... Hang join aku je lah. Kita pi juai tisu kat Komtar. Toksah ngaji tinggi-tinggi sangat orang buta macam kita ni.”

“Duduk rumah je Man. Nanti bantuan JKM masuk jugak.”

Tapi aku percaya, OKU juga boleh berjaya. Kalau yang lain boleh menggoncang dunia, kenapa OKU harus duduk diam saja? Menerima takdir dengan redha dan bersengsara. Kita juga sama, tiada bezanya. Berhak merasai secalit kejayaan dunia. Tak ambil pusing apa orang kata, kini aku berjaya. Pemegang biasiswa khas, mahasiswa universiti awam peringkat sarjana.

Aku… buta. Aku… istimewa.

Narator 3 :
Pada asalnya saya sempurna, cukup anggota. Boleh bekerja, berjalan, dan berlari. Siapa sangka kemalangan meragut kedua belah kaki ini. Benarlah kata orang, kemalangan tidak berbau. Kereta yang dipandu terbabas di bahu jalan; kaki terpaksa dipotong. Selepas itu, hidup umpama gelita. Hilang semangat. Rasa macam diri dah tak ada apa-apa.

Tapi Alhamdulillah… saya masih ada keluarga. Merekalah yang memberi dorongan semangat dan kata-kata. Saya dihantar ke pusat kemahiran orang kurang upaya. Pelajari ilmu niaga. Sesuatu yang dulu tidak pernah saya mahu tahu. Kemudian, dengan Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU, saya mula berniaga kecil-kecilan. Perniagaan bertambah maju dan berkembang. Tak jangka, saya lebih berjaya sekarang berbanding semasa sempurna dulu.

Saya… OKU. Saya… istimewa.



Muzik tiupan seruling akustik / minus one Lagu ‘Namunku Punya Hati’ dimainkan sebagai latar semasa para Narator berdialog.



Narator 1 :
Tidak ku pinta lahir ke dunia… (Menyanyi).

Narator 2 :
Tidak ku duga… (Menyanyi).

Narator 3 :
(Potong). Tidak ku pinta, tidak ku duga, tidak ku sangka. Tidak ada siapa pun yang percaya, kami OKU bisa berjaya.

Narator 1 :
Memang benar aku buta, tapi hanya buta mata… Bukan hati atau minda.

Narator 2 :
Memang benar aku tuli. Tuli ini anugerah Illahi. Mengelak dari mendengar keji dan caci.

Narator 3 :
Memang benar aku tempang, perlukan bantuan segala serampang. Tapi langkahku tidak songsang. Setiap jejak ke jalan terang.

Narator 1 :
Benar aku disleksia. Tak tahu huruf, sukar membaca, dan mengeja. Tapi aku bahagia, mengenal dunia dari kaca mata berbeza.

Narator 2 :
Jangan memanggil kami dengan nama tercela.
Usah mengejek kami dengan nista.
Tak perlu sakiti kami dengan kata hina.

Narator 3 :
Kami juga manusia biasa.
Punyai hati yang sama.
Walau kami kurang anggota;
hati kami ikhlas bernyawa.

Narator 1, 2, dan 3 :
Stigma itu hanya pada mata.
Setiap insan adalah juara.
Setiap insan adalah istimewa.

Walau dalam kekangan anggota,
 kami lebih bebas di jiwa.
Lebih sering menghargai nyawa.

Tiada apa untuk berlumba.
Kerna akhirnya, kita semua sama di mata-Nya…
Ya Rabb Pemberi Cahaya.

Nick Vujicic pernah membuktikan,
kejayaan itu tak perlukan kaki dan tangan.
Hanya secebis percaya diri, usaha dan harapan.
Menjadi pakar motivasi dunia, menolong insan.

Ludwig Beethoven pernah berjaya,
mencipta muzik terkenal serata dunia.
Walau tak dengar bunyi di telinga,
dia hanya perlu percaya dan rasa.

Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ismail Salleh.
Contoh terbaik OKU gigih.
Beliau adalah insan terpilih.
Pelbagai anugerah yang telah diraih.

Maka sedarlah teman-teman seperjuangan OKU ku,
semua bangkit berganding bahu.
Percayakan diri dan tetapkanlah arah tuju.

Kita semua boleh berjaya,
setiap bidang selagi usaha.
Pembuatan, perusahaan, kraf tangan, dan juga niaga.

Tiada apa yang mustahil dalam dunia,
kerana kamu… Insan Istimewa!



Ketiga-tiga Narator tabik hormat kepada penonton (kepada OKU) dan kemudian tunduk.
Keluar pentas. Tamat.



Nota : 
* Skrip ini ditulis khas untuk dipentaskan sempena Hari OKU Kebangsaan 2016 di Pulau    Langkawi. Pementasan dibuat oleh Grup Teater Resdong di hadapan tetamu kehormat isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor serta tokoh-tokoh OKU Kebangsaan.

*Terdapat perubahan dan penambahan ke atas skrip untuk tujuan pementasan.

*Untuk penggunaan skrip ini atas apa-apa tujuan pementasan, anda boleh minta izin guna di rizprahara@gmail.com