Dalam
pementasan teater, audien yang menonton terpaksa menerima pelbagai maklumat
mengenai dunia palsu yang dipersembahkan. Bagi membantu audien memahami kod-kod
penanda (signifiers) yang ada dalam
dunia yang dipentaskan ini, satu pengkelasan telah dibuat dalam teater yang
dipanggil sebagai realistik dan bukan realistik untuk membezakan di antara
keduanya. Sebagai seorang audien, kita seharusnya tahu bahawa dalam dunia
pementasan; terma realistik menandakan aplikasi khusus yang merujuk sebagai yang
‘asli’ atau ‘benar’. Elemen realistik tidak semestinya lebih asli atau benar
daripada elemen bukan realistik. Sebaliknya dalam teater, realistik dan bukan
realistik bermaksud cara berbeza yang digunakan untuk mempersembahkan realiti.
Elemen realistik dalam sebuah
pementasan teater merujuk kepada sesuatu yang menyerupai realiti yang boleh
dilihat dalam kehidupan sebenar yang berlaku. Ia bolehlah disebut sebagai
kebenaran yang divisualkan. Terma realistik diaplikasikan dalam elemen-elemen
teater yang dilihat menepati pemerhatian kita mengenai orang, tempat, dan
peristiwa. Teater realistik mesti merangkumi logik yang boleh diramalkan dalam
kehidupan sebenar manusia seperti hukum graviti, masa yang diambil apabila
seseorang mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain, cara hiasan dalaman
sesebuah rumah dirias, atau cara seseorang berpakaian. Melalui pendekatan
realistik, sesuatu yang dipersembahkan itu boleh dijangkau oleh normaliti
manusia. Dalam persembahan teater realistik, audien dilatih untuk menerima
bahawa apa yang dipersembahkan di atas pentas itu adalah kebenaran dan bukan
sesuatu yang direka-reka.
Pada akhir abad ke-19, selaras dengan perubahan sosial dan politik yang
telah berlaku pada masa itu, unsur-unsur realistik menjadi semakin berpengaruh.
Penekanan apa yang dipaparkan dalam teater tidak lagi berkisar mengenai kisah
dongeng atau istana seperti kisah kesatria sakti di sebuah kerajaan lama
contohnya. Akan tetapi, penekanan diberikan kepada situasi yang berlaku kepada
masyarakat biasa dengan keadaan yang sedang berlaku dalam realiti sebenar.
Pengucapan dialog juga tidak berbentuk sastera ataupun prosa-prosa yang
diindahkan akan tetapi menggunakan bahasa perbualan seharian. Aktornya pula
berkelakuan seperti orang biasa pada masa itu yang mudah dikenali atau diagak
oleh penonton.
Realisme
menjadi dominan dalam bentuk drama Eropah pada penghujung abad ke-19 apabila
tiga orang penulis skrip terkenal – Henrik Ibsen (1828-1906) di Norway, August
Strindberg (1849-1912) di Sweden, dan Anton Chekhov (1860-1904) di Rusia –
menghasilkan banyak skrip drama realistik yang bagus. Mereka telah secara
bersama membentuk corak pementasan baru pada abad seterusnya yang popular
dengan teater jenis ini. Mereka telah mempersembah drama dengan
karakter-karakter yang mempunyai sejarah, motif, dan kebimbangan, yang sama
atau mungkin pernah dilalui oleh audien dalam kehidupan seharian mereka. Oleh
itu, audien merasakan drama yang dipentaskan lebih dekat dengan kehidupan
mereka ataupun sesuatu situasi yang mudah difahami.
Bukan realisme pula merujuk kepada elemen dalam teater yang tidak
menepati segala apa yang kita nampak pada permukaan realiti secara visual
seperti penggunaan sajak dan bukannya prosa, watak makhluk asing berbanding
manusia sebenar, bentuk pemandangan yang abstrak, dan sebagainya. Dalam teater,
justifikasi untuk bukan realisme ialah bahawa permukaan realiti yang boleh
dilihat seperti perbualan sebenar di dalam sebuah rumah tidak boleh
menyampaikan kebenaran keseluruhan kerana begitu banyak perkara yang berlaku
dalam minda dan ruang imaginasi kita. Contohnya, apabila kita mengalami
kemurungan yang teruk dan memberitahu kepada kawan kita bahawa ianya ‘teruk’
atau ‘terseksa’; kita sebenarnya tidak berkomunikasi dengan kedalaman perasaan
kita dan apa yang kita rasa tentang kemurungan itu. Hal ini adalah kerana
kekurangan perkataan biasa yang boleh ditukar kepada prosa yang lebih indah dan
tepat dan juga wujudnya kelemahan dalam proses komunikasi harian yang lain.
Oleh itu mereka menterjemahkannya dalam bentuk muzik, tarian, arca, ukiran dan
sebagainya sebagai simbol dan metafora tentang apa yang mereka rasa itu tanpa
perlu bercakap mengenainya.
Akan sebab itulah, ekspresi simbolik mengambil bentuk sebagai teknik
dalam teater bukan realistik. Walaupun istilah ini dikira sebagai baru (dalam
konteks dunia moden), sebenarnya teknik bukan realistik ini telah diaplikasikan
semenjak zaman teater awal lagi. Sebagai contoh, penggunaan korus dalam
pementasan teater Greek klasik adalah untuk menyuarakan idea, perasaan, atau
niat yang mungkin tidak akan boleh diekspresikan secara realistik atas
kekangan-kekangan tertentu. Teater bukan realistik memberi peluang untuk
mempersembahkan kehendak dalaman yang benar (inner truth) – satu realiti yang ‘lebih benar daripada apa yang
benar’.
Pelbagai jenis teknik teatrikal dan alat berada di bawah katogeri bukan
realisme. Salah satunya adalah seperti soliloki – perbuatan di mana karakter
bercakap dengan audien dan mengekspresikan fikiran tersembunyinya. Dalam
kehidupan realiti, kita tidak akan bercerita tentang apa yang ada dalam fikiran
kita itu secara terang-terangan untuk didengari oleh semua orang. Contoh yang
lain pula adalah pantomin – sebuah perlakuan di mana pelakon akan menggunakan
objek-objek yang tidak wujud. Bukan realisme paling jelas banyak digunakan di
dalam teater berbentuk komedi dan muzikal.