Tuesday 28 April 2015

Skrip Pendek 'Aku Bukan Teddy Bear'



Cynthia  : 
 Aku  bukan  teddy  bear.

Karen  :  
Apa  maksud  kau  dengan,  ‘aku  bukan  teddy  bear’?

Cynthia  : 
 Aku  bukan  teddy  bear  yang  selalu  perlu  bersedia  di  bilik  tidur,  memenuhi   ruang  kamar untuk  nampak  indah;  dan  tubuh  aku  yang  gebu  hanya  akan  didakap  bila  tuan  aku  berasa sunyi.

Karen  :  
Tapi…  kau  tak  macam  tu.  Maksud  aku,  kita  tak  macam  tu!

Cynthia  :  
Tak  macam  tu  kau  kata?  Cuba  kau  perhatikan,  kita  tinggal  di  dalam  sebuah  rumah  agam yang  diperbuat  daripada  kaca  kepunyaan  pengasas  syarikat  majalah  pornografi  terbesar  di dunia.  Kita  selalu  bersedia  di  bilik  tidur  kepunyaannya,  menanti  dia  untuk  pulang setiap malam  hanya  untuk  mendapatkan  satu  pelukan  hangat.

                                                                      (Pause).
Karen  :  
Kita  memang  teddy  bear.





Nota : Skrip ini menceritakan kehidupan Playboy Bunny di rumah agam peribadi milik Hugh Hefner.



*Hakcipta skrip milik terpelihara penulis blog ini sepenuhnya. Dikongsi untuk tujuan pembelajaran. Keizinan untuk menggunakan skrip ini atas tujuan lain seperti pementasan, penerbitan, olahan semula ke dalam bentuk lain atau apa sahaja harus mendapat keizinan penulis dengan menghubungi melalui alamat emel : rizprahara@gmail.com

SKRIP 'SKETSA RUKUN NEGARA'


Watak – watak :
Ashanti
Erra
Susan
Jannatul (Pengawas sekolah)
Cikgu Mei


Ashanti termenung kesedihan. Dia baru saja didenda oleh gurunya semasa perhimpunan pagi tadi. Tiba-tiba, dia didatangi oleh Erra dan Susan.

Susan : Asha! Buat apa tu?
Erra : Asha termenung di sini seorang diri, teringatkan teman lelakilah tu… (Ketawa).
Ashanti : Bukanlah Susan…Erra. Saya tengah susah hati ni, bukan sebab saya teringatkan teman 
                lelaki. Lagipun, saya mana ada teman lelaki.
Erra : Habis tu, kalau awak takde teman lelaki… Pak Mat tu siapa? Sampai hati awak  
           permainkan hati Pak Mat! Hari tu awak kata awak cintakan dia!
Susan : Pak Mat tukang kebun kita tu? (Erra dan Susan ketawa besar).
Ashanti : Sudahlah Erra! Susan! Janganlah main-main! Saya betul-betul susah hati ni.
Erra : Woo! Sabar Asha! Bertenang. Kami cuma bergurau saja, O.K?
Susan : Apa sebenarnya yang awak tengah susah hati sekarang ni? Cuba beritahu kami.
Ashanti : Pasal pagi tadi. Kejadian semasa perhimpunan. Awak berdua tak nampak ke?
Erra & Susan : Masa perhimpunan?
Ashanti : Kan pagi tadi sewaktu perhimpunan saya didenda untuk menyanyikan Lagu Negaraku
                seorang diri di atas pentas, di hadapan semua pelajar-pelajar yang lain.       
Erra : Ohh… Eh? Itu denda ke? Saya sangka awak nak uji vokal untuk masuk rancangan realiti 
           televisyen.
Ashanti : Erra!
Erra : O.K, maaf. Jadi apa yang awak susah hati? Benda dah berlaku kan… lupakan saja.
Ashanti : Saya takut adik saya akan laporkan kejadian ini pada ibubapa saya. Pasti saya akan
               dimarahi. Bukan itu saja, kawan-kawan yang lain pun sudah mula mentertawakan saya  
               mengenai kejadian tersebut. Saya berasa malu sangat.
Susan : Siapa yang mendenda awak tadi sebenarnya?
Ashanti : Cikgu Mei.
Erra : Ahhh! Cikgu Mei lagi! Geramnya! Tempoh hari kami berdua pun didenda olehnya, tahu?
Susan : Apa yang awak buat tadi Asha, sehingga awak didenda?
Ashanti : Saya tak berdiri semasa menyanyikan Lagu Negaraku.     
Erra : Tengok! Benda kecil saja, tapi sampai awak dimalukan. Cikgu Mei memang tak patut!
          Dah lah kami masih lagi berdendam dengan dia mengenai kejadian tempoh hari.
Ashanti : Apa kesalahan awak berdua tempoh hari?
Erra : Kami gantung bendera Malaysia terbalik di tiang bendera semasa waktu rehat. Lepas tu
          kami kena denda berdiri di tengah padang sampailah waktu rehat tamat.
Susan : Tapi gantung bendera terbalik tu… memang kelakar!

Waktu ini, kebetulan Jannatul lalu di kawasan itu. Jannatul kemudiannya mencuri dengar perbualan mereka bertiga.

Erra : Asha! Susan! Kita mesti buat sesuatu untuk kenakan balik Cikgu Mei. Biar dia malu
          macam apa yang kita rasa.
Susan : Setuju!
Ashanti : Apa yang awak nak buat Erra?
Erra : Apa kata kita rakam gerak-geri Cikgu Mei secara sembunyi-sembunyi. Kemudian, kita
           sunting video rakaman itu dengan letakkan kapsyen yang kelakar dan memalukan. Lepas
           tu kita tunjuk rakaman tu pada murid-murid lain.
Susan : Atau… kita tangkap gambar Cikgu Mei, sunting gambar tersebut guna perisian
             komputer; dan kemudian letakkannya pada papan kenyataan sekolah. (Erra dan Susan
             ketawa besar).
Ashanti : Atau kita edarkannya di laman sosial Facebook? (Erra dan Susan terhenti dari ketawa).
Susan : Asha! Idea yang bijak!
Erra : Ohhh… Asha. Awaklah yang paling kejam di antara kita bertiga, sayangku!
 Ashanti : Nanti! Nanti! Nanti! Tapi saya tak nak terlibat dengan rancangan awak berdua ni.
Susan : Kenapa pula?
Ashanti : Saya takut…
Erra : Nak takutkan apa pula Asha? Awak ni pengecut betullah.
Susan : Ya. Awak dah lupa ke apa yang Cikgu Mei dah buat pada awak?
Erra : Dia dah malukan awak Asha! Awak mesti balas balik perbuatan Cikgu Mei bersama kami.
Susan : Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

Tiba-tiba Jannatul masuk mencelah perbualan mereka.

Jannatul : Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bagus peribahasa ni. Lagi bagus kalau kita 
                 gunakannya untuk kebaikan.
Ashanti : Jannatul!
Jannatul : Saya dah terdengar perbualan kamu bertiga. Minta maaf kalau saya masuk campur.
                 Tetapi Asha, Erra, Susan... pada pendapat saya, eloklah kamu bertiga batalkan niat
                 kamu itu.
Erra : Jannatul, awak pengawas sekolah. Awak tak pernah kena denda macam yang kami kena.
           Mudahlah bagi awak untuk menasihati kami.
Susan : Saya rasa baik kamu jangan masuk campur hal kami, Jannatul.
Jannatul : Saya menasihati kamu sebagai sahabat kamu semua. Saya tak nak lihat kamu bertiga
                didenda lagi disebabkan perkara seperti ini. Lagipun, kesalahan yang telah kamu
                semua lakukan sebelum ini adalah berpunca daripada sikap kamu sendiri.
Susan : Gantung bendera terbalik pun kena denda ke? Kami cuma main-main saja.
Jannatul : Memanglah bagi kamu perbuatan itu cuma gurauan… Tapi kamu tidak tahu yang
                 sebenarnya kamu telah melanggar satu prinsip dalam Rukun Negara kita.
Erra : Langgar prinsip Rukun Negara?
Jannatul : Kesopanan dan kesusilaan. Prinsip kelima dalam Rukun Negara. Beerti yang kita
                harus hormati negara ini dan apa saja yang berkaitan dengan perlembagaannya.
                Bendera Malaysia adalah lambang negara kita. Perbuatan kamu menterbalik
                bendera Malaysia seolah-olah kamu tidak menghormati negara ini.
Ashanti : Saya rasa, betul kata Jannatul itu.
Susan : Eh, Asha! Kamu lupa ke siapa yang tidak berdiri semasa menyanyikan Lagu Negaraku
              tadi?
Ashanti : Maaflah… Saya sedar kesalahan saya. Sebab itulah saya rasa kita tak patut teruskan
                rancangan kita untuk kenakan Cikgu Mei.
Erra : Cakap sajalah yang sebenarnya… awak tu pengecut!
Ashanti : Janganlah cakap macam tu Erra. Sebenarnya, saya takut saya berdosa pada Cikgu Mei
                 nanti. Saya juga akan berdosa pada tuhan kalau Cikgu Mei tak maafkan perbuatan
                 saya.
Jannatul : Kepercayaan kepada tuhan. Prinsip pertama Rukun Negara. Ya… Saya rasa awak kena
                 ikut saranan prinsip Rukun Negara yang pertama itu Asha. Sebagai panduan agar
                 awak tak teruskan perbuatan yang salah.
Erra : Baiklah, Jannatul. Saya akui apa yang awak cakap tu ada betulnya. Tapi… saya tetap rasa 
          Cikgu Mei tak patut mendenda kami semua di khalayak ramai. Malu tahu tak? Sudahlah
          saya ni ketua pasukan sorak sekolah yang cantik, menawan, dan diminati ramai.
Susan : Kami akan teruskan juga rancangan kami!

Tiba-tiba, Cikgu Mei lalu dan berhenti di hadapan mereka semua.

Susan : Cikgu Mei datang! Habislah! Nanti Jannatul laporkan rancangan kita pada dia. (Susan
              berbisik pada Erra).
Cikgu Mei : Hai semua! Apa yang kamu semua bincangkan di sini? Susan, berbisik-bisik
                     nampak? Ada rancangan menarik ke?
Jannatul : Salam sejahtera Cikgu! Tiada apa-apa. Kami berborak saja di sini.
Cikgu Mei : Berborak pasal apa? Pasal rancangan nak kenakan saya?
Semua murid : Eh! Tak lah cikgu… mana ada! Bergurau pula cikgu ni. Takde! Takde!
Cikgu Mei : Saya bergurau saja.
Ashanti : Em… Cikgu…
Cikgu : Ya, Ashanti. Ada apa-apa ke yang kamu nak beritahu saya? (Erra dan Susan sudah mula 
             menggelabah).
Ashanti : Saya cuma nak minta maaf kepada cikgu sebab tak berdiri semasa menyanyikan Lagu
                Negaraku dalam perhimpunan pagi tadi. (Erra dan Susan lega kerana mereka
                 menyangka Ashanti nak membongkarkan rancangan mereka).
Cikgu Mei : Ohhh… berkenaan hal pagi tadi? Tak mengapa. Saya dah maafkan kamu.
Ashanti : Terima kasih cikgu!
Cikgu Mei : Sebenarnya, saya pun nak minta maaf kepada kamu bertiga; Ashanti, Erra, Susan,
                    kerana telah mendenda kamu semua. Manalah tahu perbuatan saya telah
                    menyebabkan kamu berasa tidak puas hati.
Ashanti : Tak mengapa, cikgu.
Cikgu Mei : Saya mendenda kamu atas tujuan mendidik agar kamu sedar bahawa perbuatan
                     kamu itu salah dan tidak menghormati prinsip Rukun Negara kita. Perbuatan seperti
                     memain-mainkan bendera Malaysia dan tidak menghormati Lagu Kebangsaan
                     adalah satu kesalahan yang serius, tahu? Kamu masih ingat lagi prinsip Rukun
                    Negara kita yang kedua?
Jannatul : Kesetiaan kepada Raja dan Negara!
Cigu Mei : Yang ketiga?
Ashanti : Keluhuran perlembagaan.
Cikgu Mei : Yang keempat; Erra, Susan?
Erra & Susan : Errr… Kedaulatan Undang-undang?
Cikgu Mei : Ya, betul! Ketiga-tiga prinsip Rukun Negara ini menyarankan kepada kita bahawa
                     kita haruslah menghormati sistem perlembagaan negara ini. Oleh itu, kita tak
                     bolehlah main-mainkan perkara-perkara yang melambangkan negara kita seperti
                     bendera kebangsaan…..
Jannatul : Jalur Gemilang!
Cikgu Mei : …..dan juga lagu kebangsaan kita.
Ashanti : Negaraku!
Erra : Maafkan kami Cikgu Mei. Kami sedar kesalahan kami.
Susan : Kami tak sedar yang perkara sekecil itu telah melanggar prinsip Rukun Negara kita.
Ashanti : Kami berjanji yang kami tak akan ulang lagi kesilapan yang sama.
Jannatul : Terima kasih cikgu. Ucapan cikgu tadi tu, tiba-tiba membuatkan semangat patriotik
                 saya membara.         
Cikgu Mei : Baguslah kalau macam tu. Cuaca panas pun semakin membara juga ni, macam
                     semangat awak tu. Apa kata saya belanja awak semua pergi minum?
Susan : Yeay! Starbucks?
Cikgu Mei : Tak… Minuman kegemaran Malaysia saja; Teh Tarik Mamak!

Semua ketawa dan keluar minum bersama.

Tamat.



*Hakcipta skrip milik terpelihara penulis blog ini sepenuhnya. Dikongsi untuk tujuan pembelajaran. Keizinan untuk menggunakan skrip ini atas tujuan lain seperti pementasan, penerbitan, olahan semula ke dalam bentuk lain atau apa sahaja harus mendapat keizinan penulis dengan menghubungi melalui alamat emel : rizprahara@gmail.com