Friday, 23 November 2012

Elemen – elemen Bangsawan


Terdapat enam elemen-elemen teatrikal dalam bangsawan iaitu :

         i.                  Spektakular (unsur kekaguman)
       ii.                  Gaya lakon
      iii.                   Bahasa
     iv.                    Muzik
       v.                   Tarian
     vi.                    Extra-turn

Spektakular merupakan unsur kekaguman yang ada dalam persembahan bangsawan. Ia seringkali disebut sebagai tasmat. Unsur ini wujud dalam persembahan bangsawan bagi memberi kekaguman kepada penonton tentang apa yang dipaparkan. Oleh itu, penonton akan lebih teruja dan percaya dengan aksi yang dipaparkan di atas pentas. Ia hanya digunakan pada babak-babak tertentu sahaja yang diberi penekananseperti babak aksi, magis, kayangan, dan sebagainya. Sebagai contoh, penggunaan asap buatan semasa babak di alam mimpi, penyalaan api di atas pentas semasa babak berada di neraka, atau air yang turun dari atas pentas kononnya air itu adalah air mata bidadari. Tasmat bolehlah dikatakan sebagai efek atau trick untuk mewujudkan elemen kekaguman itu sendiri. Bezanya bangsawan dengan persembahan tradisional lain, elemen kekaguman itu ditunjukkan secara visual dan fizikal di atas pentas.

Gaya lakon di dalam bangsawan merupakan elemen yang istimewa. Ini kerana ia berbeza dengan gaya lakon persembahan teater moden, terutamanya yang beraliran realism. Ia masih mengekalkan gaya lakon biasa, cuma diperbesar-besarkan. Gestura tangan, gerak badan, mimik muka, gaya pengucapan dialog; semuanya diperbesar. Ini bertujuan untuk menarik perhatian audien terhadap bahasa tubuh mereka yang besar. Selain itu, memang tujuan mereka agar audien sentiasa melihat apa jua yang mereka lakukan di atas pentas. Selain untuk tujuan pemahaman mesej, ia berkait rapat dengan showmanship mereka selaku pelakon yang digilai penonton (dalam konteks semasa zaman popular bangsawan).

Bahasa yang digunakan dalam persembahan bangsawan merupakan bahasa istana. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan gurindam, lagu, seloka, bersyair, dan sebagainya.

Muzik merujuk kepada bunyi-bunyian sebagai latar belakang suasana dalam lakonan ataupun untuk mengiringi tarian tarian dan nyanyian adalah perlu untuk menghidupkan persembahan bangsawan. Pada peringkat permulaannya adat-adat muzik yang digunakan hanyalah tabla, harmonium dan dol.  Tetapi setelah pengaruh Barat mulai berkembang di Tanah Melayu dan Singapura, alat-alat muzik Barat mulai digunakan oleh Orkestra Bangsawan.  Pada peringkat kemashyurannya (antara tahun-tahun 1920-1935) terdapat alat-alat muzik seperti biola dan mandolin dari jenis “stringed instrumentals”, “drum”, tabla dan cymbal dari jenis “percussion”, dan terdapat juga seruling, “saxaphone”, “clarinet” dan “trumpet” dan jenis “wind instruments”.
Dalam persembahan bangsawan, terdapat juga babak-babak di mana ada unsur tarian dipertontonkan. Misalnya, babak hari pertabalan, majlis keramaian, bercinta, kayangan, dan sebagainya. Tarian yang dipersembahkan biasanya adalah tarian tradisional. Para penari juga adalah golongan terlatih dan selalunya sering mengambil peranan kecil dalam persembahan bangsawan seperti menjadi inang, dayang, orang kampung, dan sebagainya.

Extra-turn pula merupakan elemen yang tiada dalam persembahan tradisional lain. Extra-turn merupakan persembahan selingan semasa pertukaran antara dua babak. Biasanya, slot ini akan diisi dengan persembahan-persembahan yang tiada langsung kaitannya dengan cerita yang dipaparkan dalam bangsawan. Persembahan extra-turn dibuat adalah untuk memudahkan pertukaran alat-alat pentas mengikut latar babak-babak tertentu dan supaya penonton-penonton tidak tertunggu-tunggu. Antara persembahan yang diselitkan ialah nyanyian dari penyanyi terkenal, akrobatik silap mata, tarian, lawak jenaka, dan sebagainya.Namun, pada zaman kemasyuran bangsawan; tarian tradisional yang lebih banyak dipersembahkan semasa extra-turn. Penari-penari terdiri daripada lelaki dan perempuan yang terlatih dalam berbagai-bagai jenis tarian Timur dan Barat bagi persembahan dalam babak-babak extra-turn.  Tarian-tarian lama yang pernah dijadikan popular oleh Bangsawan ialah tarian “Tarik Tari” ciptaan Kumpulan Wayang Siti Hawa, tariah “Mak Inang”, tarian “Lilin” dan lain-lain lagi. Dalam zaman Bangsawan mula mengambil gelaran opera selepas tahun 1930, tarian ala Barat seperti mambo dan ca ca ca telah menjadi kegemaran.


No comments:

Post a Comment