Wednesday, 14 November 2012

Ulasan Teater Bangsawan 'Mestika Bumi'


ULASAN  :  BANGSAWAN  ‘MESTIKA  BUMI’
TARIKH   :  26  OKTOBER  2010  (3.00  PETANG  &  8.30  MALAM)  & 
                    27  OKTOBER  2010  (8.30  MALAM)
TEMPAT  :  AUDITORIUM  DEWAN  BUDAYA,  UNIVERSITI  SAINS  MALAYSIA
TIKET      :  RM  5.00



                     Saya  telah  menonton  pementasan  Bangsawan  ‘Mestika  Bumi’  di  Auditorium  Dewan  Budaya,  Universiti  Sains  Malaysia  (USM)  pada  26  Oktober  2010  yang  lalu,  pada  jam  8.30  malam.  Pementasan  ini  dipersembahkan  oleh  Kumpulan  Seri  Bangsawan  USM  dan  diarahkan  oleh  Prof.  Madya  Dr.  Abdul  Samat  bin  Salleh.  Olahan  skrip  bagi  ‘Mestika  Bumi’  ini  telah  dilakukan  oleh  Encik  Halimi  bin  Mohamed  Noh.  Mestika  Bumi  diambil  ceritanya  berdasarkan  cerita  bangsawan  Jula-Juli  Bintang  Tiga;  kisah  percintaan  yang  penuh  pancaroba  antara  Maharaja  Darsa  Alam  dan  puteri  kayangan  yang  bernama  Mestika  Bumi.  Peranan  Orang  Muda  telah  dijayakan  oleh  Norhelmi  Othman,  manakala  Seri  Panggung  pula  telah  dijayakan  oleh  Andy  Siti  Nurhidayah  Rahim.

                     Penulisan  tugasan  ini  adalah  hasil  daripada  penilaian  dan  pemerhatian  saya  mengenai  satu  watak  yang  saya  pilih  dalam  persembahan  bangsawan  ini.  Pemerhatian  yang  dibuat  adalah  berdasarkan  gaya  lakonan,  mutu  lakonan,  serta  pembawaan  karektor  oleh  pelakon  yang  dipilih.  Saya  telah  memilih  untuk  menilai  lakonan  Sheikh  Abdul  Rahman  bin  Haji  Zainal  Abidin  yang  telah  melakonkan  watak  putera  mahkota  Baharom  Syah.

                     Gaya  lakonan  yang  dibawakan  oleh  Sheikh  Abdul  Rahman  untuk  watak  Putera  Mahkota  Baharom  Syah  amat  bersahaja  dan  begitu  santai  untuk  pementasan  bangsawan  ini.  Dialog-dialog  yang  diucapkan  sepanjang  lakonannya  diucapkan  dengan  bersahaja  tanpa  penekanan  yang  mendalam  di  bahagian-bahagian  tertentu.  Mimik  muka  dan  gestura  badan  kurang  distailisasikan  untuk  menunjukkan  emosi  yang  sedang  dihadapi.  Sepanjang  kemunculannya  di  babak  akhir,  watak  Baharom  Syah  memainkan  tiga  jenis  emosi  yang  jelas  iaitu  marah  (sewaktu  mengetahui  Kering  dan  Lapok  tidak  mempertahankan  ayahandanya),  sedih  (sewaktu  beliau  mendapat  tahu  dirinya  telah  memanah  ayahandanya  secara  tidak  sengaja),  dan  gembira  (semasa  ibunya  turun  dari  kayangan).  Emosi-emosi  yang  cuba  disampaikan  melalui  babak-babak  tersebut  dapat  dibaca  dengan  mudah  melalui  rangkaian-rangkaian  dialog  serta  situasi  yang  dilakonkan  oleh  watak  lain.  Akan  tetapi,  emosi  ini  tidak  tercermin  melalui  penyampaian  mimik  muka  dan  gestura  Sheikh  Abdul  Rahman.  Pada  pendapat  saya,  Sheikh  kurang  menstailisasikan  gaya  lakonannya  dan  kelihatan  terlalu  statik  berbanding  pelakon-pelakon  lain.  Melalui  pemerhatian  saya  juga,  gaya  lakonan  yang  dibawa  beliau  dalam  teater  ini  amat  kontra  dengan  gaya  lakonan  pelakon-pelakon  utama  yang  lain.  Semacam  ada  satu  sifat  kontra  dalam  lakonan  beliau  dengan  gaya  bangsawan.  Melalui  pemerhatian  saya  juga,  karektor  yang  dibawakannya  ada  unsur-unsur  watak  teater  moden.

                      Selain  itu,  saya  juga  kurang  jelas  dengan  ciri-ciri  perwatakan  yang  dibawa  melalui  watak  tersebut.  Digambarkan,  Baharom  Syah  adalah  anak  muda  berumur  20  tahun  yang   ditinggalkan  ibu  bapanya  dan  diasuh  oleh  para  inangda.  Ciri-ciri  khas  watak  ini  kurang  ditelitikan  dan  akhirnya,  lakonan  menjadi  serabut  dan  kucar-kacir  tanpa  dapat  dikesan  sifat  watak  yang  sebenar.  Pada  mulanya,  saya  melihat  watak  ini  digambarkan  sebagai  seorang  putera  mahkota  yang  gagah  dan  cukup  asuhannya;  dengan  sifat  budiman  walaupun  ada  sifat  darah  mudanya  yang  mudah  membuatkannya  hilang  pertimbangan.  Namun,  ciri-ciri  perwatakan  yang  ada  ini  hilang  sedikit  demi  sedikit  setelah  melalui  konflik  dalam  babak  klimaks  persembahan.  Daripada  seorang  putera  mahkota   yang  penuh  asuhannya,  perlahan-lahan  bertukar  menjadi  seorang  anak  raja  yang  kurang  didikan,  tidak  sensitif,  dan  masih  bersifat  keanak-anakan.  Saya  dapat  melihat  perubahan  ini  melalui  setiap  tindakan  susulan  yang  diambil  oleh  pelakon,  yang  kadangkala  saya  perhatikan;  reaksinya  serta  tindakan  susulan  yang  diambil  tidak  selari  dengan  perwatakannya  ketika  mula-mula  masuk  pentas  pada  babak  awal  kemunculannya.

                      Secara  kesimpulannya,  saya  merumuskan  bahawa  Sheikh  Abdul  Rahman  kurang  membuat  kajian  serta  latihan  mengenai  wataknya.  Kesan  daripada  itu,  lakonan  yang  disampaikan  kelihatan  seperti  seorang  watak  yang  hilang  arah  dan  tidak  kukuh  yang  boleh  membuatkan  penonton  percaya  akan  wataknya.  Secara  peribadi,  saya  sendiri  mengakui  kegagalan  beliau  membawa  watak  pada  kali  ini.  Pada  pendapat  saya,  lakonan  beliau  boleh  dipertingkat  sekiranya  latihan  dan  analisa  yang  cukup  dibuat.



*Nota : Ulasan ini ditulis pada tarikh 3 November 2010. Oleh itu, segala justifikasi adalah berdasarkan     
            perkembangan dalam tarikh itu.


                                      



No comments:

Post a Comment