ULASAN : TEATER
‘LIMA’
TARIKH : 18,
19, 20 OKTOBER
2012
MASA : 8.30
MALAM
TEMPAT : PANGGUNG
PELENGGANG CAHAYA, UNIVERSITI
SAINS MALAYSIA
‘Lima’ merupakan sebuah pementasan gabungan lima drama pendek hasil
nukilan empat orang pengarah yang menuntut di peringkat sarjana dan doktor
falsafah di Universiti Sains Malaysia. Teater ini merupakan terbitan bersama
Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia, Gabungan Seni Warisan Anak
Pinang (GASEWAP), dan Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Utara. Lima tajuk pementasan
yang dipersembahkan adalah ‘Jamban’, ‘Katastrofi’, ‘Duri Hati Mawar’, ‘Nur’,
dan ‘ Sayang Syafiah : Sisi Gelap Masyarakat’. Kelima-lima pementasan
merangkumi bentuk yang berbeza-beza seperti monolog, lakonan realistik, lakonan
fizikal, dan gabungan persembahan media dan puisi lakon.
Saya telah memilih satu watak dari satu persembahan untuk dinilai
berkenaan keberkesanan pelakon menyampaikan wataknya dan teknik lakon yang
mungkin dipraktikkan melalui lakonannya. Oleh itu, saya telah memilih
persembahan yang pertama bertajuk ‘Jamban’ arahan dan lakonan Nor Shuradi Nor
Hashim. Persembahan ini merupakan lakonan monolog.
Skrip monolog ini mudah, ceritanya berkenaan susah payah seorang lelaki
yang bekerja sebagai tukang cuci tandas
dan cabarannya melaksanakan tugas seharian. Menurut pengarah yang juga
pelakonnya, ilham dia menghasilkan skrip ini datang daripada sebuah kisah benar
dari sesi interversi kaunseling. Itulah menurut apa yang disampaikan pengarah,
penulis skrip, dan juga pelakonnya. Boleh dikatakan lakonan ini seperti ‘one
man show’ kerana dia terlibat dari proses awal hingga akhirnya dan tentulah
beliau amat memahami isu dan persoalan skrip tersebut serta konflik yang
dihadapi wataknya. Namun, hal itu langsung tidak ditunjukkan dalam lakonannya.
Menonton lakonan monolog 15 minit ini amat menyeksa saya sebagai
penonton. Terutama sekali kerana saya terpaksa menghadam satu-satu perkataan
yang keluar dari mulutnya. Jelas sekali, pelakon ini tidak menjalankan latihan
vokal yang betul dan paling asas. Hal ini dapat disaksikan melalui nafasnya
yang putus-putus dan tidak cukup panjang semasa melontarkan dialog. Beliau juga
sering mencuri nafas di pertengahan ayat yang disampaikannya semasa berdialog.
Akibatnya, beliau cepat penat dan tercungap-cungap. Selain itu, aspek lontaran
vokalnya turut tidak dititikberatkan. Beliau melontarkan vokal dalam nada biasa
kerana saya sendiri yang duduk hanya tiga meter dari tempat beliau berlakon,
gagal mendengar ayat yang diucapkan dengan jelas. Bukan itu sahaja, latihan menyebut
suku kata seperti ‘tounge twister’ juga mungkin kurang dijalankan. Hal ini
dapat dikesan kerana sebutan perkataan yang dikeluarkan dari mulutnya tidak
satu-satu dan bercantum dengan bunyi suku kata perkataan lain serta terlalu
laju. Daripada sudut vokal, boleh saya katakan bahawa nadanya seperti orang
yang sedang membebel seorang diri; bukan seperti orang yang sedang bercerita
jauh sekali berlakon.
Itulah sedikit sebanyak yang boleh saya perkatakan mengenai vokal.
Daripada sudut penyampaian fizikal dalam lakonan pula, juga hambar. Kesan
daripada kegagalan memaknakan dialog yang disampaikannya, beliau gagal
menunjukkan aksi yang betul bersesuaian dengan apa yang dimaksudkan. Bagai ada sesuatu
yang tidak kena dalam segala tindakannya. Tiada dinamik dalam setiap
perlakuannya. Semuanya bagai sekerat jalan dan melepaskan batuk di tangga.
Pemilihan kosa kata gerak juga terhad dan beliau sangat tidak kreatif dan
kekurangan idea. Buktinya, beliau hanya berdiri setempat sambil bercerita.
Adalah penting bagi sesuatu lakonan monolog untuk sedar ruang. Dari aspek ini,
beliau gagal. Prop imaginasi yang digunakannya diletakkan bersepah-sepah.
Selepas menggunakan prop imaginasinya, pelakon mengabaikan kewujudan prop-prop
itu.
Dari pemerhatian saya, boleh dikatakan tiada satu pun teknik-teknik
lakonan yang dicadangkan Stanivlasky yang dipraktikkan dalam proses latihan.
Jika benarlah teknik ini ada dipraktikkan, sudah pastinya saya dapat mengesan
hal itu dalam lakonannya biarpun terdapat banyak kelemahan dalam lakonannya.
Lakonannya pada malam itu seperti spontan dan terlalu ‘over-acting’. Usahanya
unuk bermain dengan penonton juga gagal. Unsur komedi yang diterapkan nyata
tidak menjadi.
Kesimpulan saya hanya satu,
kegagalan pelakon dalam lakonannya berpunca dari awal proses lagi. Bertindak
sebagai pelakon yang juga pengarah adalah satu hal yang patut dielakkan.
Lebih-lebih lagi dalam persembahan monolog. Hal ini kerana beliau tidak dapat
menilai kelemahan sendiri dalam proses latihan. Sebenarnya tidak salah jika
beliau hendak berlakon sendiri dalam skrip hasil nukilannya, tapi satu proses
latihan yang sangat berat dan berdisiplin haruslah dipraktikkan supaya beliau
tidak diperbodohkan di atas pentas yang secara ironinya; memusnahkan nilai
tambah skripnya sendiri.
*Nota : Ulasan ini ditulis pada tarikh 3 November 2012. Oleh itu, segala justifikasi adalah berdasarkan
perkembangan dalam tarikh itu.
Awat tak dak orang komen kat hang kat sini?
ReplyDeletebiasalah...blog baru. lagipun hari tu saya tak letak aplikasi2 komentar kat sini.
ReplyDelete