Wednesday, 14 November 2012

Ulasan Teater 'Mayat'





ULASAN     :      TEATER  ‘MAYAT’
TARIKH      :      1  &  2  APRIL  2011  (8.30  MALAM)
TEMPAT     :       PANGGUNG  PELENGGANG  CAHAYA,  UNIVERSITI  SAINS  MALAYSIA
TIKET         :       RM  5.00


                     Saya  telah  menonton  pementasan  teater  ‘Mayat’  di  Panggung  Pelenggang  Cahaya,  Universiti  Sains  Malaysia  (USM)  pada  1  April  2011  yang  lalu,  pada  jam  8.30  malam.  Pementasan  ini  dipersembahkan  oleh  pelajar-pelajar  tahun  akhir  pengkhususan  drama  dan  teater  sebagai  memenuhi  keperluan  pengijazahan.  Teater  Mayat  telah  diarahkan  oleh  saudara  Zairee  Anuar  bin  Misnan.  Skrip  teater  ‘Mayat’  ini  telah  ditulis  oleh  Profesor  Hatta  Azad  Khan.  Mayat  menceritakan  dilema  empat  sahabat  dalam  mencari  ikhtiar  untuk  mengebumikan  mayat  sahabat  mereka.  Teater  Mayat  pada  kali  ini  dibintangi  oleh  Vivian  Tan  sebagai  Sahabat  1,  Nurdalila  sebagai  Sahabat  2,  Mohd  Hafizi  sebagai  Sahabat  3,  Arif  Faiz  sebagai  Sahabat  4  dan  Abu  Musarrif  sebagai  Orang  Luar.

                     Penulisan  tugasan  ini  adalah  hasil  daripada  penilaian  dan  pemerhatian  saya  mengenai  satu  watak  yang  saya  pilih  dalam  persembahan  teater  ini.  Pemerhatian  yang  dibuat  adalah  berdasarkan  mutu  lakonan dan  pembawaan  karektor  pelakon  yang  dipilih.  Saya  telah  memilih  untuk  menilai  lakonan  Mohd  Hafizi  bin  Zulkifeli  yang  telah  melakonkan  watak  Sahabat  3.  Beliau  juga  merupakan  antara  pelakon  yang  dinilai  oleh  para  pensyarah  pada  malam  itu,  selain  Vivian  Tan  dan  Nurdalila.

                     Gaya  lakonan  yang  dibawakan  oleh  Mohd  Hafizi   untuk  watak  Sahabat  3    amat  bersahaja  tetapi  berkesan.  Dialog-dialog  yang  diucapkan  sepanjang  lakonannya  diucapkan  dengan  bersahaja  dan  menepati  keperluan   setiap  babak  yang  dilakonkan.  Mimik  muka  dan  gestura  badan  juga  distailisasikan  untuk  menunjukkan  emosi  yang  sedang  dihadapi.  Sepanjang  kemunculannya  dari  babak  pertama,  watak  Sahabat  3 memainkan  berbagai  jenis  emosi  seperti  marah  (selalu  dipamerkan  terhadap  watak  Sahabat  1  lakonan  Vivian  Tan),  sedih  (sewaktu  beliau  Orang  Luar  bercerita  mengenai  ‘mati’),  dan  gembira  (semasa  proses  tawar-menawar  dengan  Orang  Luar).  Emosi-emosi  yang  cuba  disampaikan  melalui  babak-babak  tersebut  dapat  dibaca  dengan  mudah  melalui  rangkaian-rangkaian  dialog  yang  ringkas  serta  situasi  yang  dilakonkan  oleh  watak  lain.  Oleh  kerana  skrip  Mayat  adalah  sebuah  naskhah  yang  ringkas  tetapi  absurd,  gaya  lakonannya  tidak  begitu  terikut-ikut  denan  aliran  realism;  walaubagaimanapun  ia  masih  boleh  difahami.  Watak  zombie  yang  dibawa  oleh  Hafizi  amat  unik  kerana  secara  gesturanya,  beliau  menepati  cirri-ciri  makhluk  zombie  itu.  Pergerakannya  berpetak  dan  terkunci,  membentuk  pergerakan  linear  yang  tidak  organik  tetapi  simetri;  seumpama  pergerakan  mayat  hidup  yang  sendi-sendinya  tidak  dapat  berfungsi  dengan  baik.

                    Lontaran  vokal  Hafizi  sangat  jelas  dan  butir-butir  percakapannya  satu-satu  dan  teratur  membuatkan  audien  mudah  faham.  Tiada  masalah  rasanya  daripada  sudut  lontaran  vokal  beliau.  Cuma  kadangkala  beliau  menyempitkan  ruang  suara,  menjadikan  bunyi  yang  terhasil  bernada  tinggi  dan  bingit.  Mungkin  mengganggu  audien-audien  yang  alah  dengan  bunyi-bunyian  bernada  tinggi.

                    Mengenali  Hafizi  daripada  lakonan-lakonannya  yang  terdahulu,  dapat  saya  kesan  sesuatu  bahawa  lakonan  beliau  pada  kali  ini  tidak  sehebat  lakonan  beliau  dalam  pementasan  teater  yang  sebelum-sebelumnya.  Beliau  terpaksa  menurunkan  tahap  lakonan  beliau  demi  menjaga  watak-watak  lain  dalam  ‘Mayat’  agar   tidak  ‘over  shadow’  kepada  pelakon-pelakon  lain.  Apatah  lagi,  teater  ini  tidak  ada  protagonis  dan  antagonis,  semua  watak  adalah  sama  ‘level’.  Oleh  itu,  amat  tepatlah  jika  saudara  Hafizi  menurunkan  mutu  lakonannya  walaupun  perlakuan  ini  seumpama  ‘membunuh’  kredibilitinya.  Namun,  inilah  profesionalisme  yang  harus  dijaga  oleh  seorang  pelakon  di  atas  pentas.

                   Tidak  banyak  kesilapan  yang  dilakukan  oleh  Hafizi  sewaktu  pementasan  ini.  Mungkin  pengalaman  beliau  yang  luas  dalam  bidang  teater  banyak  membantu.  Cuma  ada  satu  kesilapan  yang  dapat  saya  kesan  iaitu  beliau  ada  membuat  pengulangan  idea  sewaktu  pementasan.  Beliau  mengulang  satu  bahagian  komedi  dengan  terjerit-jerit.  Saya  faham  tujuan  beliau  melakukan  perkara  itu – untuk  menarik  hilai  tawa  audien.  Akan  tetapi,  apabila  ia  seringkali  diulang-ulang,  timbul  rasa  bosan  dalam  kalangan  penonton.  Mujurlah  perbuatannya  masih  mendapat  sambutan  biarpun  diulang-ulang.
                      
             Secara  kesimpulannya,  lakonan  yang  dibawa  oleh  Mohd  Hafizi  bin  Zulkifeli  amat  berkesan  kerana  daya  beliau  sendiri  sebagai  seorang  pelakon  yang  suka  mencuba  selain  dari  tunjuk  ajar  pengarah  teater  ‘Mayat’  yang  mungkin  banyak  membantu.  Sesungguhnya,  latihan  amat  penting  untuk  menjadi  seorang  pelakon  yang  berjaya,  dan  secara  peribadi;  saya  amat  menghormati  beliau  sebagai  seorang  pelakon.


*Nota : Ulasan ini ditulis pada tarikh 3 April 2011. Oleh itu, segala justifikasi adalah berdasarkan     
            perkembangan dalam tarikh itu.



No comments:

Post a Comment