ULASAN : TEATER
MONOLOG ‘TIADA GANTI’
TARIKH : 26,
27, 28 JULAI
2010
MASA : 8.30
MALAM
TEMPAT : PANGGUNG
PELENGGANG CAHAYA, UNIVERSITI
SAINS MALAYSIA
Teater monolog ‘Tiada
Ganti’ dipentaskan khas
buat kali keduanya
bagi memenuhi kalendar
acara Convex 2010
yang berlangsung di
Universiti Sains Malaysia
sempena Majlis Konvokesyen USM 2010.
Teater ini sebelumnya
pernah dipentaskan untuk
memecah rekod sebagai
‘Teater Monolog Paling
Panjang Malaysia’s Book of
Record’ dengan catatan
masa selama 6 jam 26
minit dan 36
saat. Namun, pada
pementasan kali ini,
teater ini dipentaskan
hanya selama satu
jam sahaja dan
diulang selama 3
hari. Pelakon teater
monolog ini ialah
Muhammad Khairol Azhar.
Teater Monolog ‘Tiada
Ganti’ ini dipentaskan
dengan membawa isu
gejala rasuah dan
pecah amanah yang
berleluasa dalam masyarakat.
Skripnya ditulis oleh
Mata Kucing dengan
tenaga produksi Meow
Meow Production. Muhammad
Khairol Azhar memainkan
lima watak dalam
teater monolog ini
sebagai Azri, Aiman,
Ketua Kampung, Pegawai
Bank, dan Ah Pek Rock.
Watak Azri digambarkan
sebagai seorang pekerja
kilang yang kesempitan
hidup untuk membeli
rumah kos rendah
kerajaan. Perwatakan Azri
yang jujur menyebabkan
dirinya selalu ditindas
oleh pihak-pihak tertentu
yang mengamalkan rasuah.
Biarpun pada mulanya
menolak amalan rasuah,
namun atas desakan
hidup akhirnya Azri
turut mengamalkan rasuah
dan pecah amanah.
Watak Azri sengaja
dipilih penulis bagi
mewakili golongan bawahan
yang tertindas dan
terpaksa melakukan apa
sahaja akibat desakan
hidup. Ini bertujuan
untuk mewujudkan ‘layer’
antara golongan yang
ditidas dan tertindas.
Penghayatan yang disampaikan
Khairol Azhar bagi
watak ini amat
berkesan dan mendalam
serta berjaya mewujudkan
kepercayaan dalam kalangan
audiens bahawa watak
itu benar-benar wujud
meskipun tanpa bantuan
kostum.
Pada babak
kedua, watak Aiman,
seorang anak kecil
berumur 5 tahun
yang merupakan anak
kepada Azri pula
dibawakan. Watak ini
ditampilkan berperanan sebagai
unsur komedi dalam
teater ini. Isu
rasuah dibawa daripada
kaca mata seorang
kanak-kanak yang tidak
mengerti apa-apa akan
hal seserius rasuah.
Unsur komedi disampaikan
melalui keletah dan
kepetahan watak kanak-kanak
yang dilakonkan. Watak
ini ternyata berjaya
meraih gelak tawa
penonton, namun watak
ini jugalah yang
‘membunuh’ keseluruhan persembahan
teater monolg ini.
Dialog yang diucap
watak Aiman terlalu
meleret-leret dan jauh
tersasar daripada isu
teater. Kadangkala, tidak
nampak kelogikan pada
watak tersebut kerana
ada dialog-dialog yang
diucapkan tidak kena
dengan pemikiran kanak-kanak
berumur 5 tahun
dan terlalu matang.
Watak ini jugalah
yang mendedahkan kelemahan
pelakon yang mudah
terkesan dengan sorakan
dan hilai tawa
penonton sehingga dia
mengimprovisasinya dengan spontan
secara kerap. Untuk
watak ini sahaja,
15 minit telah
dibazirkan dan ini
bukanlah satu pembahagian
masa yang bijak
oleh pihak pengarah
dan produksi sekiranya
mahu memendekkan pementasan
6 jam dalam
masa sesingkat 1
jam. Ini kerana,
15 minit itu
telah terbuang tanpa
apa-apa mesej penting
atau babak-babak menarik
yang dapat mendukung
isu pementasan atau
menjayakannya.
Watak ketiga
Muhammad Khairol Azhar
dibawa dengan baik
dan tidak mengecewakan.
Tambahan pula, kepakarannya
menukar perwatakan mengikut
watak yang dibawa
sangat baik. Selain
itu, beliau nyata
mempunyai vokal yang
bagus untuk menjayakan
babak nyanyian yang
diselitkan pada babak
ini. Ruang pentas
dimanfaatkan sepenuhnya. Antara
teknik yang digunakan
pelakon ketika menukar
wataknya adalah dengan
berselindung di sebalik
kawasan gelap bagi
membuang perasaan penonton
tentang watak yang
sebelumnya. Watak ketua
kampung yang mengamalkan
nepotisme dijayakan dengan
baik atas bantuan
watak-watak imaginasi seperti
Mat, anaknya. Namun,
kekeliruan mungkin berlaku
kepada penonton mengenai
siapa watak Mat
sebenarnya jika penonton
tidak memberi tumpuan
yang sepenuhnya kerana
dialog yang diucapkan
ketua kampong mengenainya
tidak terlalu kerap
dan menonjol.
Babak yang terus
bergerak membawa penonton
ke watak yang
keempat, Pegawai Bank.
Watak ini merupakan
antagonis dalam teater
monolog ini. Pegawai
Bank merupakan pengamal
rasuah. Mengikut kedudukan
pentas yang bertingkat-tingkat, Pegawai
Bank menduduki tempat
yang teratas, menunjukkan
bahawa dialah yang
menguasai segala-galanya. Watak
Ketua Kampung terletak
di tingkat kedua
teratas dan Azri
menduduki bahagian yang
paling bawah sekali
di pentas tiga
tingkat ini. Watak
ini diwujudkan bagi
mewakili golongan atasan
yang mengamalkan korupsi dan
tidak berintegriti. Watak
seorang pegawai bank
diletakkan kerana semua
isu yang dipaparkan
dekat dengan peranan
seorang pegawai bank
yang mempunyai kaitan
secara langsung dengan
ekonomi. Selain itu,
ia juga mewakili
golongan pemerintah. Biarpun
berada dalam hierarki yang
tertinggi dalam masyarakat,
golongan ini juga turut
mengalami dilema ekonomi
akibat desakan hidup
yang melebihi kemampuan;
lantas memaksa mereka
mengamalkan rasuah. Watak
ini dapat dikembangkan
dengan baik oleh
pelakon melalui dialog-dialog
yang ringkas dan
padat. Biarpun watak
ini dilakonkan dalam
tempoh yang singkat (sekitar
lebih kurang lima
minit sahaja tidak
termasuk selingan lagu),
ia memberi impak
yang besar kepada
keseluruhan jalan cerita
kerana kewujudan watak
ini berfungsi sebagai
pelengkap plot. Persoalannya,
mengapa pengarah tidak
menonjolkan watak yang
penting ini sebaliknya
memilih watak Aiman
untuk ditonjolkan dalam
pementasan versi kompak
Teater Monolog ‘Tiada
Ganti’ ini? Jika
Aiman dipilih sebagai
fungsi humor (teater
kali ini lebih
berfungsi sebagai hiburan
berbanding untuk menyampaikan
mesej seperti versi
asal), pengarah juga
tidak boleh menolak
kepentingan watak Pegawai
Bank. Akibatnya, plot
menjadi longgar kerana
kemunculannya yang terlalu
sekejap.
Selain watak Aiman,
terdapat satu lagi
watak yang mencacatkan
keseluruhan persembahan ini
iaitu watak Ah
Pek Rock. Ah
Peck Rock turut
berfungsi sebagai unsur
lucu dalam persembahan
namun kewujudannya tidak
begitu menekan dalam
drama ini. Seperti
watak Aiman, kelemahan
pelakon dapat dikesan
melalui penghayatan dan
kajian yang kurang
terhadap watak ini.
Watak digambarkan sebagai
seorang lelaki tua
berbangsa cina, namun
dialog yang dituturkan
terlalu kemelayuan yang
mencerminkan watak berfikiran
seperti seorang melayu
dan bukannya cina.
Terdapat juga beberapa
patah perkataan bahasa
melayu yang dalam
realitinya jarang diucap
apatah lagi digunapakai
dalam pertuturan harian
oleh seorang yang
berbangsa cina. Pelat
cina yang diucapkan
juga seperti dibuat-buat
dan terlalu klise
seperti orang melayu
yang mengajuk-ajuk seseorang
berbangsa cina bertutur
dalam bahasa melayu.
Watak ini lemah
dari sudut kajiannya.
Pelakon pula sering
mengimprovisasi watak dengan
sewenang-wenangnya akan perkara-perkara yang
langsung tiada kena-mengena
dengan lakonan yang
disampaikan.
Secara keseluruhannya, pementasan
teater monolog ini
boleh diklasifikasikan sebagai
sederhana dari sudut
lakonan dan persembahan.
Mesej yang ingin
disampaikan kurang jelas
dan langsung tidak
terkesan di hati
penonton. Mengambil kira
dari sudut penyampaian
mesej, ia telah
gagal. Namun, usaha
membawa teater monolog
ini semula setelah
kejayaan persembahan ulungnya
beberapa tahun lalu
merupakan satu inisiatif
yang wajar dipuji
untuk meneruskan budaya
menonton teater dalam
kalangan pelajar dan
menyuburkan aspirasi terhadap
teater di Malaysia.
*Nota : Ulasan ini ditulis pada tarikh 3 Ogos 2010. Oleh itu, segala justifikasi adalah berdasarkan
perkembangan dalam tarikh itu.
No comments:
Post a Comment