ULASAN : BORIA ‘LAMBUNG GINI’
TARIKH : 19 DAN
20 OKTOBER 2012
MASA : 8.30
MALAM
TEMPAT : PANGGUNG SASARAN, UNIVERSITI
SAINS MALAYSIA
Boria ‘Lambung Gini’ merupakan sebuah persembahan yang diadakan sempena
pelancaran pembukaan semula Panggung Sasaran yang dirasmikan oleh naib canselor
Universiti Sains Malaysia, Professor Dato’ Omar Osman. Boria ini merupakan
karya Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ghouse Nassuruddin dan Professor
Madya Razif Mohd bertindak selaku komposer.
Persembahan
boria ini menggabungkan aspek persembahan tradisional dengan budaya semasa di
bawah projek Kearifan Tempatan. Struktur persembahan boria ini mudah; ada
sketsa, diselang-selikan dengan persembahan tarian, muzik, dan nyanyian moden
serta tradisional dan diakhiri dengan nyanyian tukang karang serta tarian gerak
bebas seperti dalam persembahan boria tradisional. Gaya lakon yang dibawa oleh
pelakon dalam persembahan ini bersifat realisme dan dipersembahkan dalam bentuk
sketsa. Namun begitu, kadangkala gaya lakonannya diperbesar-besarkan bertujuan
memberikan unsur komedi kepada penonton. Ada dua watak utama dalam sketsa ini
iaitu Abu Musarrif sebagai Mat Sumbu dan juga Wan Azrul sebagai Mail Lambung.
Daripada sudut lakonan, boleh dikatakan lakonan kedua-dua watak utama ini
dalam katogeri memuaskan. Latar tempat dalam sketsa ini di sekitar Pulau
Pinang. Kedua-dua watak utama dalam sketsa ini juga mengambil bentuk watak
stereotaip orang Melayu Pulau Pinang. Oleh kerana watak yang stereotaip itu,
penonton mudah menerima karakter tersebut; lebih-lebih lagi bagi penonton yang
sudah ada pemahaman tentang sikap stereotaip orang Melayu Pulau Pinang. Dalam
persembahan sketsa begini, penonton biasa hanya mencari unsur komedi dan tidak
menitikberatkan ciri-ciri yang wujud pada watak. Bagi mereka, jika komedi yang
ditampilkan mendatangkan gelak tawa, watak tersebut sudah menjadi.
Namun begitu, saya berpendapat bahawa perwatakan juga amat penting
biarpun ia berbentuk stereotaip. Oleh itu, saya telah mengkaji lakonan Abu
Musarrif sebagai Mat Sumbu dalam sketsa ini. Mat Sumbu digambarkan sebagai
seorang anak jati Pulau Pinang yang naïf dan cetek ilmu pengetahuannya tentang
hal-hal dunia dan politik. Oleh itu, beliau sering ditipu dan dipergunakan.
Walaupun seorang yang naif, Mat Sumbu sering sahaja mempersoalkan iklim politik
yang berlaku di sekitarnya yang secara tidak langsung memberi kesan secara
terus kepada dirinya dan keluarga yang daif dan miskin. Namun disebabkan
dirinya seorang yang naïf, beliau senang ditipu dan dikenakan orang-orang
disekelilingnya yang menyokong parti-parti politik tertentu dan tidak senang
dengan kelantangan Mat Sumbu. Abu Musarrif berjaya membawa watak ini dengan
baik biarpun dalam bentuk komedi. Ada ciri-ciri yang ditambah untuk
menghidupkan watak ini agar berbeza dengan perwatakan sebenarnya yang sudah
diketahui umum. Hal ini dapat dilihat melalui gestura watak Mat Sumbu itu
sendiri.
Bagi
saya, watak ini adalah watak yang paling menjadi dan memberi kesan. Dari sudut
gerakan fizikal, setiap tingkah laku yang dilakonkan meyakinkan dan sering
sahaja memberi gelak tawa kepada penonton. Pelakon ini menggunakan ruang lakon
yang diberikan kepadanya dengan penuh. Beliau juga bijak menggunakan level dan tempo gerakan fizikalnya. Ini
secara tidak sengaja, mengubah tempo persembahan yang ada kalanya mendatar dan
hanya tertumpu kepada ucapan dialog sahaja untuk melahirkan unsur komedi. Gaya
lakonan Abu Musarrif lebih berbentuk slapstik dan bahasa tubuhnya lebih
difahami oleh audien berbanding apa yang diucapkannya. Ini kerana bahasa yang
digunakannya dan pelakon-pelakon lain dalam sketsa ini adalah Bahasa Melayu
Utara tempatan dengan loghat Pulau Pinang. Oleh itu, ada penonton yang kurang
faham dengan bahasa yang dipertuturkan. Setidak-tidaknya, aksi lakonan
slapstiknya berjaya mencuit hati sebahagian penonton luar negara yang turut
datang menyaksikan persembahan ini. Daripada sudut lontaran vokal, tiada
masalah kerana setiap perkataan yang keluar daripada mulut pelakon ini amat
jelas dan dapat didengari. Jika ada masalah pun, mungkin daripada sudut bahasa
yang sukar difahami oleh penonton bukan tempatan.
*Nota : Ulasan ini ditulis pada tarikh 3 November 2012. Oleh itu, segala justifikasi adalah berdasarkan
perkembangan dalam tarikh itu.
No comments:
Post a Comment