Thursday, 22 November 2012

ULASAN PROGRAM LAWATAN KE PUSAT HARIAN HARAPAN BAKTI


               


PUSAT HARIAN HARAPAN BAKTI

                 Pada  9  MAC  2011  yang  lalu,  pelajar-pelajar  dari  jurusan  lakonan  dan  pengarahan  Universiti  Sains  Malaysia  yang  mengikuti  kursus  VLP  117 – Drama  &  Teater  Kanak-Kanak  ada  membuat  lawatan  ke  Pusat  Harapan  Harian  Bakti,  Balik  Pulau,  Pulau  Pinang.  Pusat  Harapan  Harian  Bakti  merupakan  sebuah  Pusat  Kanak-Kanak  Istimewa.   Lawatan  ini  telah  diketuai  oleh  Dr.  Aris  bin  Ahmad,  pensyarah  bagi  subjek  ini  dan  ditemani  oleh  2  orang  tutor  iaitu  En.  Halimi  bin  Mohamed  Noh  dan  En.  Roslan  Chin  serta  beberapa  orang  staf  sokongan  USM.

                Tujuan  lawatan  ini  diadakan  adalah  bagi  membuat  pemerhatian  diagnostik   mengenai  tingkah  laku  kanak-kanak  istimewa  di  pusat  harian  tersebut.  Pemerhatian  yang  dilakukan  ini  seterusnya  akan  disusuli  untuk  mengkaji  hubungan  yang  sesuai  di  antara  kanak-kanak  istimewa  dengan  jenis  persembahan  yang  sesuai  dipersembahkan  kepada  mereka.   Bercakap  mengenai  teater  kanak-kanak,  wujud  perbezaan  yang  amat  jelas  dari  segi  jenis  persembahan  yang  ingin  dipersembahkan  kepada  kanak-kanak  tersebut  mengikut   jenis  kumpulan  dan  kelompok.  Sebagai  contoh,  persembahan  yang  ingin  dipersembahkan  kepada  kanak-kanak  normal  tentu  sahajalah  berbeza  dengan  kanak-kanak  istimewa.  Antara  faktor-faktor  yang  perlu  diambil  kira   adalah  seperti  tahap  kemampuan  fizikal,  tindakbalas  motor  otak,  kemampuan  menghadam  apa  yang  dilihat,  dan  sebagainya.
                           Pusat  Harian  Harapan  Bakti  menempatkan  kanak-kanak  yang  dikatogerikan  sebagai  terencat  akal,  syndrome  down, hyper  active,  mempunyai  kekurangan  upaya  fizikal,  dan  yang  mempunyai  masalah  lembam  dalam  pembelajaran  (slow  learner).  Umur  kanak-kanak  yang  dihantar  di  sini  adalah  sekitar  7  hingga  18  tahun.  Pelajar-pelajar  di  pusat  harian  ini  adalah  sekitar  kurang  daripada  30  orang  pelajar  yang  terdiri  daripada  pelbagai  bangsa  dan  dibahagikan  kepada  2  kumpulan  iaitu  kumpulan  mampu  berdikari  dan  kumpulan  jagaan  rapi.  Pelajar  yang  ditempatkan  dalam  kumpulan  mampu  berdikari  boleh  menjaga  dirinya  sendiri  dan  mampu  menguruskan  diri  terhadap  perkara-perkara  asas,  seperti  ke  tandas,  contohnya,  manakala  kumpulan  jagaan  rapi  pula  memerlukan  guru-guru,  pengasuh,  dan  pembimbing  untuk  melakukan  kerja-kerja  harian.  Guru-guru  di  pusat  ini  adalah  seramai  5  orang  yang  terdiri  daripada  para  sukarelawan  tetap  (tabik  hormat  kepada  mereka).  Selain  2  kumpulan  utama  kanak-kanak  ini,  wujud  lagi  satu  kumpulan  bengkel  iaitu  pelajar-pelajar  kurang  upaya  yang  berumur  18  tahun  ke  atas  yang  melakukan  kerja-kerja  kraf  tangan  dan  kerja-kerja  tetap  untuk  menampung  hidup  (mereka  memasang  komponen-komponen  kecil  daripada  kilang – komponen  elektronik  kalau  tidak  silap  saya.  Mereka  mendapat  upah  daripada  kerja  itu – 30  sen  sekilogram)

Dapatlah  saya  rumus  bahawa  kitaran  hidup  kanak-kanak  di  pusat  harian  ini  seperti  begini : 

1. KELOMPOK  JAGAAN  RAPI 
 (sekitar  umur  7  tahun  hingga  12  tahun  yang belum  mampu  berdikari) 

2. KELOMPOK  BERDIKARI
(sekitar  umur  12  tahun  yang  sudah  boleh  berdikari  sehingga  umur  18 tahun)

3. KELOMPOK  BENGKEL
(18  tahun  ke  atas  dan  boleh  dianggap  sebagai  pekerja kerana melakukan  aktiviti  sara  diri)

                        
                        Objektif  lawatan  ini  adalah  untuk  menilai  tahap  penerimaan  mereka  terhadap  sesebuah  persembahan  (teater  kanak-kanak).  Semasa  kami  di  sana,  kami  dihidangkan  dengan  2  buah  persembahan  oleh  kanak-kanak  yang  dikelompokkan  dalam  golongan  yang  memerlukan  jagaan  rapi.  Persembahan  tersebut  adalah  ‘tarian’  yang  diiringi  oleh  2  buah  lagu  (lagu  pop  lama  sekitar  tahun  80 an  dan  lagu  irama  etnik  kreatif  nyanyian  Noraniza  Idris  kalau  tak  silap  saya).  Sebenarnya,  tarian  yang  dipersembahkan  mereka  hanyalah  beberapa  gerakan  ringkas  (3  step).  Namun,  ia  merupakan  sebuah  pencapaian  yang  besar  bagi  mereka  kerana  berjaya  melakukan  pergerakan  yang  diatur  (disiplin).

                      Daripada  persembahan  sekitar  10  minit  itu,  dapatlah  saya  rumuskan  bahawa  mereka  hanya  boleh  melakukan  gerakan-gerakan  asas  yang  mudah  dan  tidak  terlalu  kompleks  dan  daya  ingatan  mereka  juga  hanya  dapat  mengingati  beberapa  rangkaian  gerakan  sahaja  (sebanyak  lebih  kurang  3 ke  4  step  yang  diulang-ulang  untuk  satu  lagu).  Melalui  perbualan  dengan  segelintir  daripada  mereka  pula,  saya  dapati  bahawa  mereka  mudah  memahami  maksud  yang   disampaikan  dalam  perbualan  namun  ada  juga  diantara  mereka  yang  gagal  mencapai  objektif  itu.  Ada  juga  yang  mengalami  masalah  linguistik  dan  kesukaran  untuk  menyebut  suku  kata  dengan  betul  dan  sempurna.  Saya  berasa  amat  bersalah  ketika  berbual  dengan  seorang  pelajar  yang  bernama  Faiz  ketika  di  pusat  harian  tersebut.  Saya  berasa  bersalah  kerana  saya  yang  gagal  mencapai  maksud  yang  cuba  diucapkan  beliau  dengan  susah  payah.  Ini  sedikit  petikan  perbualan  saya  dengan  beliau :

Saya : Nama sapa?
Faiz : Paeh.
Saya : Ha? (kurang dengar)
Faiz : Paeh.
Saya : Apa dia? Paeh? Betul?
Faiz : Paaaeeehhhh…! (menyebut  dengan  susah  payah)
Saya : … (terdiam dan berfikir sebentar)
Faiz  kelihatan  hampa  kerana  saya  gagal  memahami  kata—katanya.
Saya : Faiz!?
Faiz : Ha! Betul!  (tersenyum dan gembira)


MORAL  :  Kita  harus  lebih  peka  apabila  berbual  dengan  golongan  istimewa.


                     Melalui  perbualan  saya  dengan  pengendali  pusat  harian  ini,  Puan  R.  Rajeswari;  kanak-kanak  di  pusat  itu  harus  dibimbing  secara  satu  sama  satu  bagi  melakukan  aktiviti-aktiviti  seperti  itu.  Namun  sekiranya  ada  di  antara  mereka  yang  berkemampuan  untuk  melakukannya  sendiri  atau  telah  mahir,  mereka  pula  yang  akan  membantu  rakan-rakan  mereka  yang lain.  Sesungguhnya,  nilai  kerjasama  adalah  nilai  yang  paling  utama  diterapkan  di  pusat  ini.
                    
                  Melalui  pemerhatian  saya  juga,  muzik,  warna,  gerakan  ringkas,  dan  suku  kata  yang  mudah  dapat  menarik  minat  kanak-kanak  golongan  sebegini  untuk  menyertai  persembahan  atau  menonton  persembahan.  Dalam  teater  kanak-kanak,  memanglah  elemen  warna  dan  muzik  memainkan  peranan  penting.  Oleh  itu,  teater  kanak-kanak  sememangnya  boleh  dipersembahkan  kepada  golongan  kanak-kanak  istimewa  namun,  bahasa  atau  suku  kata  yang  digunakan  dalam  persembahan  itu  haruslah  lebih  ringkas  dan  mudah  difahami  berbanding  persembahan  untuk  kanak-kanak  normal.  Ini  adalah  kerana  mereka  lebih  tertarik  dan  faham  dengan  bahasa  tubuh  kerana  majoriti  daripada  mereka  gagal  memahami  bahasa  literal  dengan  sempurna   akibat  ketidakupayaan  diri.  Kostum  yang  digunakan  juga  harus  lebih  berwarna-warni  dan  ceria  selain  muzik  yang  catchy.   

                     Tempoh  lebih  kurang  2  jam  bersama  mereka  di  pusat  harian  itu  membuka  minda  dan  mata  saya  untuk  lebih  memahami  cara  kanak-kanak  istimewa  berfikir  dan  bertingkah  laku.  Jika  sebelum  ini,  saya  memang  mudah  bersimpati  jika  melihat  nasib  kanak-kanak  istimewa  yang  dipaparkan  di  kaca  televisyen,  namun  saya  tidak  pernah  menyelami  hati  mereka  dan  tahu  apa  yang  mereka  rasa.  Namun,  dalam  tempoh  yang  sesingkat  itu,  perasaan  simpati  saya  bertukar  menjadi  empati.  Saya  umpama  boleh  merasai   bagaimana  mereka  melihat  dunia  dari  kaca  mata  mereka.




*sesiapa  yang  berminat  nak  melawat  tempat  tu,  ni  alamat  dia :
    Jalan  Sungai  Nipah,  Balik  Pulau
    11000  Penang,  Malaysia.
    Tel : 604-8669 506    Fax : 604-8863 506
    Email : bakti@phhb.org.my



*Nota : Ulasan ini ditulis pada tarikh 17 Mac 2011. Oleh itu, segala justifikasi adalah berdasarkan     
              perkembangan dalam tarikh itu.


No comments:

Post a Comment