Tuesday 11 December 2012

PERKEMBANGAN & PERBEZAAN TEATER REALISME – BUKAN REALISME


              Dalam pementasan teater, audien yang menonton terpaksa menerima pelbagai maklumat mengenai dunia palsu yang dipersembahkan. Bagi membantu audien memahami kod-kod penanda (signifiers) yang ada dalam dunia yang dipentaskan ini, satu pengkelasan telah dibuat dalam teater yang dipanggil sebagai realistik dan bukan realistik untuk membezakan di antara keduanya. Sebagai seorang audien, kita seharusnya tahu bahawa dalam dunia pementasan; terma realistik menandakan aplikasi khusus yang merujuk sebagai yang ‘asli’ atau ‘benar’. Elemen realistik tidak semestinya lebih asli atau benar daripada elemen bukan realistik. Sebaliknya dalam teater, realistik dan bukan realistik bermaksud cara berbeza yang digunakan untuk mempersembahkan realiti.

                Elemen realistik dalam sebuah pementasan teater merujuk kepada sesuatu yang menyerupai realiti yang boleh dilihat dalam kehidupan sebenar yang berlaku. Ia bolehlah disebut sebagai kebenaran yang divisualkan. Terma realistik diaplikasikan dalam elemen-elemen teater yang dilihat menepati pemerhatian kita mengenai orang, tempat, dan peristiwa. Teater realistik mesti merangkumi logik yang boleh diramalkan dalam kehidupan sebenar manusia seperti hukum graviti, masa yang diambil apabila seseorang mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain, cara hiasan dalaman sesebuah rumah dirias, atau cara seseorang berpakaian. Melalui pendekatan realistik, sesuatu yang dipersembahkan itu boleh dijangkau oleh normaliti manusia. Dalam persembahan teater realistik, audien dilatih untuk menerima bahawa apa yang dipersembahkan di atas pentas itu adalah kebenaran dan bukan sesuatu yang direka-reka.

                  Pada akhir abad ke-19, selaras dengan perubahan sosial dan politik yang telah berlaku pada masa itu, unsur-unsur realistik menjadi semakin berpengaruh. Penekanan apa yang dipaparkan dalam teater tidak lagi berkisar mengenai kisah dongeng atau istana seperti kisah kesatria sakti di sebuah kerajaan lama contohnya. Akan tetapi, penekanan diberikan kepada situasi yang berlaku kepada masyarakat biasa dengan keadaan yang sedang berlaku dalam realiti sebenar. Pengucapan dialog juga tidak berbentuk sastera ataupun prosa-prosa yang diindahkan akan tetapi menggunakan bahasa perbualan seharian. Aktornya pula berkelakuan seperti orang biasa pada masa itu yang mudah dikenali atau diagak oleh penonton. 

               Realisme menjadi dominan dalam bentuk drama Eropah pada penghujung abad ke-19 apabila tiga orang penulis skrip terkenal – Henrik Ibsen (1828-1906) di Norway, August Strindberg (1849-1912) di Sweden, dan Anton Chekhov (1860-1904) di Rusia – menghasilkan banyak skrip drama realistik yang bagus. Mereka telah secara bersama membentuk corak pementasan baru pada abad seterusnya yang popular dengan teater jenis ini. Mereka telah mempersembah drama dengan karakter-karakter yang mempunyai sejarah, motif, dan kebimbangan, yang sama atau mungkin pernah dilalui oleh audien dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, audien merasakan drama yang dipentaskan lebih dekat dengan kehidupan mereka ataupun sesuatu situasi yang mudah difahami.

                Bukan realisme pula merujuk kepada elemen dalam teater yang tidak menepati segala apa yang kita nampak pada permukaan realiti secara visual seperti penggunaan sajak dan bukannya prosa, watak makhluk asing berbanding manusia sebenar, bentuk pemandangan yang abstrak, dan sebagainya. Dalam teater, justifikasi untuk bukan realisme ialah bahawa permukaan realiti yang boleh dilihat seperti perbualan sebenar di dalam sebuah rumah tidak boleh menyampaikan kebenaran keseluruhan kerana begitu banyak perkara yang berlaku dalam minda dan ruang imaginasi kita. Contohnya, apabila kita mengalami kemurungan yang teruk dan memberitahu kepada kawan kita bahawa ianya ‘teruk’ atau ‘terseksa’; kita sebenarnya tidak berkomunikasi dengan kedalaman perasaan kita dan apa yang kita rasa tentang kemurungan itu. Hal ini adalah kerana kekurangan perkataan biasa yang boleh ditukar kepada prosa yang lebih indah dan tepat dan juga wujudnya kelemahan dalam proses komunikasi harian yang lain. Oleh itu mereka menterjemahkannya dalam bentuk muzik, tarian, arca, ukiran dan sebagainya sebagai simbol dan metafora tentang apa yang mereka rasa itu tanpa perlu bercakap mengenainya.

                Akan sebab itulah, ekspresi simbolik mengambil bentuk sebagai teknik dalam teater bukan realistik. Walaupun istilah ini dikira sebagai baru (dalam konteks dunia moden), sebenarnya teknik bukan realistik ini telah diaplikasikan semenjak zaman teater awal lagi. Sebagai contoh, penggunaan korus dalam pementasan teater Greek klasik adalah untuk menyuarakan idea, perasaan, atau niat yang mungkin tidak akan boleh diekspresikan secara realistik atas kekangan-kekangan tertentu. Teater bukan realistik memberi peluang untuk mempersembahkan kehendak dalaman yang benar (inner truth) – satu realiti yang ‘lebih benar daripada apa yang benar’.

                 Pelbagai jenis teknik teatrikal dan alat berada di bawah katogeri bukan realisme. Salah satunya adalah seperti soliloki – perbuatan di mana karakter bercakap dengan audien dan mengekspresikan fikiran tersembunyinya. Dalam kehidupan realiti, kita tidak akan bercerita tentang apa yang ada dalam fikiran kita itu secara terang-terangan untuk didengari oleh semua orang. Contoh yang lain pula adalah pantomin – sebuah perlakuan di mana pelakon akan menggunakan objek-objek yang tidak wujud. Bukan realisme paling jelas banyak digunakan di dalam teater berbentuk komedi dan muzikal.

No comments:

Post a Comment