Friday, 28 November 2014

Catatan Rapsodi Menentang Mimpi-mimpi Dunia : Sebuah Jurnal Peribadi Rapsodi Dari Medini. (Prolog)

Masa aku baru sampai ke bandar pelabuhan ni 3 tahun lalu; aku tak pernah dapat sesuaikan diri. Tak kiralah apa waktu. Dari pagi sampai ke malam, ada saja benda yang tak kena bagi aku. Terasa asing. Semuanya asing. Budayanya lansung berbeza dari tempat di mana aku berasal. Gaya percakapan, bahasa tubuh, cara kehidupan, pemahaman terhadap sesuatu benda... semuanya! Boleh kata semuanya berbeza. Meskipun orang-orang di sini bercakap dalam bahasa yang sama seperti di tempat asal aku; tapi dialeknya sedikit berbeza. Kadang-kadang ada perkataan yang lansung aku tak faham. Tapi lama-kelamaan... setelah beradaptasi, aku dapat menyesuaikan diri dengan semua tu.

Nama aku Rapsodi. Tak kiralah walau macamana pun ejaannya; sama ada Rapsodi, ataupun Rhapsodi... bunyinya tetap sama. Cuma kalau di sini sering saja jadi pertikaian; hanya kerana sekeping huruf yang menyebabkan perbezaan ejaan. Orang-orang di bandar ini panggil aku Rhap. Jadi mulai itu aku sertakan sekali 'H' dalam ejaan nama aku.

Bandar ini namanya Karamutiara di Farapatara. 'Karamutiara' - nama bandar ini. 'Di Farapatara' lebih kepada merujuk - '...of Farapatara'. Farapatara tu gelaran lain bagi negara ni. Bahasa lama tak silap aku. Fara tu maksudnya angin. Patara tu tapak kaki / laluan. Jadi bandar ni boleh kata maksud nama dia sebagai 'Pulau Mutiara di Tapak Kaki Angin' atau 'Pulau Mutiara di Laluan Angin'. Ohh, lupa! Karamutiara tu maksudnya Pulau Mutiara. Kara tu pulau. Contohnya yang paling dekat dengan Karamutiara ni ialah Karabapa dan Karagunjon (sebutan : Karagunhon). Apa saja pulau, disebut dengan perkataan 'Kara'. Itulah serba sedikit maklumat nama geografi di negara Farapatara ni. Macam aku cakap tadi, Farapatara ni nama lain atau gelaran saja. Nama rasmi negara ni ialah Melsonik.

Melsonik sebuah negara yang tergabung dari kumpulan beberapa buah bandar. Tujuh bandar di tanah besar dan tiga bandar di atas pulau termasuklah Karamutiara. Karamutiara adalah antara bandar paling hujung dalam jajahan takhluk Melsonik; selain Karagunjon. Ia telah melepasi garisan tengah di antara peradaban Timur dan Barat. Melsonik sendiri adalah sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada dua peradaban iaitu timur dan barat. Maison, Pubulum, Agone, Riztopozoa, Chic (sebutan : Shick), Sevura, dan Karadil por Ter berada di bahagian barat manakala Karamutiara dan Karagunjon di bahagian timur. Bandar Kaihudongdoon (orang tempatan sebut Kaido saja) pula berada di tengah-tengah garisan ini. Maknanya Kaido sebahagiannya adalah timur dan sebahagiannya adalah barat. Budaya antara timur dan barat sudah bercampur berkurun lamanya di negara ini sehingga mencipta budaya baru yang tersendiri.

Aku? Aku berasal daripada Medini. Sebuah pekan kecil di bawah Empayar Adas (bersempena nama Raja Adas) yang terletak dibahagian timur dunia. Seorang budak ladang yang kerjanya memetik epal dan buah ciku ais. Yang gemar bermain tiup-tiup (alat muzik) di malam hari sambil melihat bintang-bintang. Tiada keluarga; sebatang kara. Yang ada cuma kawan-kawan dan seorang buah hati; Melodi namanya.

Bagaimana aku boleh tercampak ke Karamutiara?
Itu... satu cerita yang lain pula.




Mungkin peta ni tak berapa tepat; tapi sekurang-kurangnya inilah serba sedikit yang aku ingat tentang kedudukan geografi antara Medini dan Karamutiara.

No comments:

Post a Comment