Monday, 25 May 2015

'Initiate, Develop, Perform - Performances featuring 3 Young Artists.'



TAJUK : INITIATE, DEVELOP, PERFORM.
LOKASI : SINKEH, 105 LEBUH MELAYU, GEORGETOWN, P. PINANG.
MASA : 30 MEI 2015, 8.00 P.M
TIKET : RM 10.00


'Initiate, Develop, Perform' adalah satu projek inkubator di bawah Reka ArtSpace sdn bhd. yang menyokong, menaja, memantau, serta memberi khidmat nasihat ke atas karyawan muda seni persembahan dalam proses mewujudkan suatu persembahan bermula dari proses R & D  sehinggalah terbentuknya sebuah persembahan lengkap tersedia untuk dipentaskan. Projek ini bertujuan untuk menggalak lebih ramai aktivis muda teater dan seni persembahan mengekspresi karya mereka.

Pada kali ini, projek ini menampilkan tiga orang artis muda iaitu Goo Zhuan Xuan, Hilyati Ramli, dan juga Noor Rizuwan. Ketiga-tiga mereka menampilkan karya yang berbeza.

Goo tampil dengan persembahan 'Teater Objek' bertajuk 'The Wanderer' yang mengupas isu berkenaan gelandangan dan kutu rayau. Hilyati pula mempersembah 'Teater Fizikal' bertajuk 'Bersatulah Pelacur-pelacur Kota Jakarta' yang diilhamkan daripada sajak W.S Rendra. Noor Rizuwan pula akan tampil dengan 'Devise Drama ' bertajuk 'Siapa Salbiah?' Persembahan ini mengambil ilham daripada kisah 'urban legend' di Pulau Pinang iaitu kisah 'Hantu Bukit Salbiah'.

Tempat duduk adalah terhad kepada 40 orang penonton sahaja. Tempahan dan pertanyaan boleh diaju ke sheaufung@sinkeh.com.





Pementasan Drama Komedi 'Dagang Si Nipah Ruyung'



TAJUK : DAGANG SI NIPAH RUYUNG
LOKASI : PANGGUNG SASARAN, USM.
MASA : 26 & 27 MEI 2015 - 3.00 PM / 28 MEI 2015 - 8.00 P.M
TIKET : RM 10 & RM 5 (PELAJAR)


Kali terakhir Prof. Emiritus M. Ghouse Nasuruddin mementaskan teater karya dan arahannya di USM adalah pada  tahun 2013 bertajuk 'Boria Lambung Gini'. Kali ini beliau kembali lagi dengan karyanya yang terbaru - Dagang Si Nipah Ruyung. Sekiranya anda peminat teater bercorak komedi yang penuh dengan satira politik dan sosial, serta sindiran dan kritikan halus terhadap masyarakat... anda tidak harus melepaskan peluang menyaksikan teater ini. Kerana itulah stail persembahan yang selalu diterapkan Prof. Ghouse dalam lewat karya-karyanya.


Sinopsis :

Mengisahkan tentang perihal sebuah kampung yang penduduknya bertelingkah sesama sendiri tentang bibit-bibit kehidupan. 
Dagang, seorang muda muncul di kampung itu semasa dalam perjalanan ke Nipah Ruyung, suatu tempat di alam dongengan.
Interaksi Dagang dengan penghuni kampung mencetuskan pelbagai masalah dan konflik di samping beliau sendiri yang menangani beberapa masalah demi kepentingan penghuni kampung.

Siapakah Si Dagang ini?
Mengapakah beliau muncul di kampung ini?
Apakah reaksi penghuni terhadap si Dagang?

Sama-sama kita tonton untuk menghayati watak misteri ini.

Siapakah Si Dagang ini?Mengapakah beliau muncul di kampung ini?
Apakah reaksi penghuni terhadap si Dagang?

Sama-sama kita tonton untuk menghayati watak misteri ini.

Pementasan Teater 'Nisya Khaleed'

TAJUK : NISYA KHALEED
TEMPAT : AUDITORIUM DEWAN BUDAYA, USM.
MASA : 29 MEI 2015, 8.30 P.M
KEMASUKAN : PERCUMA


Teater Nisya Khaleed pertama kalinya diangkat ke pentas di Festival Teater MAKUM Mac 2015 yang lepas oleh Dewan Budaya USM. Pada 29 Mei 2015 ini pula, teater ini akan dipentaskan semula dengan kerjasama DBP Wilayah Utara atas sambutan yang hangat serta permintaan ramai. Marilah sama-sama menyaksikan pementasan semula teater ini.

'Nisya Khaleed' mengisahkan seorang wanita kampung bernama Nisya dari Kedah yang berkahwin dengan Zulkarnain; seorang ustaz dari Indonesia. Perkahwinan yang asalnya bahagia mula goyah apabila Zulkarnain mula terlibat dengan aktiviti keganasan dan insiden pengeboman berani mati.

Skrip dan arahan Senibayan. Menampilkan Syahidatul Munirah dan Hyke Nasir sebagai teraju utama.







Tuesday, 28 April 2015

Skrip Pendek 'Aku Bukan Teddy Bear'



Cynthia  : 
 Aku  bukan  teddy  bear.

Karen  :  
Apa  maksud  kau  dengan,  ‘aku  bukan  teddy  bear’?

Cynthia  : 
 Aku  bukan  teddy  bear  yang  selalu  perlu  bersedia  di  bilik  tidur,  memenuhi   ruang  kamar untuk  nampak  indah;  dan  tubuh  aku  yang  gebu  hanya  akan  didakap  bila  tuan  aku  berasa sunyi.

Karen  :  
Tapi…  kau  tak  macam  tu.  Maksud  aku,  kita  tak  macam  tu!

Cynthia  :  
Tak  macam  tu  kau  kata?  Cuba  kau  perhatikan,  kita  tinggal  di  dalam  sebuah  rumah  agam yang  diperbuat  daripada  kaca  kepunyaan  pengasas  syarikat  majalah  pornografi  terbesar  di dunia.  Kita  selalu  bersedia  di  bilik  tidur  kepunyaannya,  menanti  dia  untuk  pulang setiap malam  hanya  untuk  mendapatkan  satu  pelukan  hangat.

                                                                      (Pause).
Karen  :  
Kita  memang  teddy  bear.





Nota : Skrip ini menceritakan kehidupan Playboy Bunny di rumah agam peribadi milik Hugh Hefner.



*Hakcipta skrip milik terpelihara penulis blog ini sepenuhnya. Dikongsi untuk tujuan pembelajaran. Keizinan untuk menggunakan skrip ini atas tujuan lain seperti pementasan, penerbitan, olahan semula ke dalam bentuk lain atau apa sahaja harus mendapat keizinan penulis dengan menghubungi melalui alamat emel : rizprahara@gmail.com

SKRIP 'SKETSA RUKUN NEGARA'


Watak – watak :
Ashanti
Erra
Susan
Jannatul (Pengawas sekolah)
Cikgu Mei


Ashanti termenung kesedihan. Dia baru saja didenda oleh gurunya semasa perhimpunan pagi tadi. Tiba-tiba, dia didatangi oleh Erra dan Susan.

Susan : Asha! Buat apa tu?
Erra : Asha termenung di sini seorang diri, teringatkan teman lelakilah tu… (Ketawa).
Ashanti : Bukanlah Susan…Erra. Saya tengah susah hati ni, bukan sebab saya teringatkan teman 
                lelaki. Lagipun, saya mana ada teman lelaki.
Erra : Habis tu, kalau awak takde teman lelaki… Pak Mat tu siapa? Sampai hati awak  
           permainkan hati Pak Mat! Hari tu awak kata awak cintakan dia!
Susan : Pak Mat tukang kebun kita tu? (Erra dan Susan ketawa besar).
Ashanti : Sudahlah Erra! Susan! Janganlah main-main! Saya betul-betul susah hati ni.
Erra : Woo! Sabar Asha! Bertenang. Kami cuma bergurau saja, O.K?
Susan : Apa sebenarnya yang awak tengah susah hati sekarang ni? Cuba beritahu kami.
Ashanti : Pasal pagi tadi. Kejadian semasa perhimpunan. Awak berdua tak nampak ke?
Erra & Susan : Masa perhimpunan?
Ashanti : Kan pagi tadi sewaktu perhimpunan saya didenda untuk menyanyikan Lagu Negaraku
                seorang diri di atas pentas, di hadapan semua pelajar-pelajar yang lain.       
Erra : Ohh… Eh? Itu denda ke? Saya sangka awak nak uji vokal untuk masuk rancangan realiti 
           televisyen.
Ashanti : Erra!
Erra : O.K, maaf. Jadi apa yang awak susah hati? Benda dah berlaku kan… lupakan saja.
Ashanti : Saya takut adik saya akan laporkan kejadian ini pada ibubapa saya. Pasti saya akan
               dimarahi. Bukan itu saja, kawan-kawan yang lain pun sudah mula mentertawakan saya  
               mengenai kejadian tersebut. Saya berasa malu sangat.
Susan : Siapa yang mendenda awak tadi sebenarnya?
Ashanti : Cikgu Mei.
Erra : Ahhh! Cikgu Mei lagi! Geramnya! Tempoh hari kami berdua pun didenda olehnya, tahu?
Susan : Apa yang awak buat tadi Asha, sehingga awak didenda?
Ashanti : Saya tak berdiri semasa menyanyikan Lagu Negaraku.     
Erra : Tengok! Benda kecil saja, tapi sampai awak dimalukan. Cikgu Mei memang tak patut!
          Dah lah kami masih lagi berdendam dengan dia mengenai kejadian tempoh hari.
Ashanti : Apa kesalahan awak berdua tempoh hari?
Erra : Kami gantung bendera Malaysia terbalik di tiang bendera semasa waktu rehat. Lepas tu
          kami kena denda berdiri di tengah padang sampailah waktu rehat tamat.
Susan : Tapi gantung bendera terbalik tu… memang kelakar!

Waktu ini, kebetulan Jannatul lalu di kawasan itu. Jannatul kemudiannya mencuri dengar perbualan mereka bertiga.

Erra : Asha! Susan! Kita mesti buat sesuatu untuk kenakan balik Cikgu Mei. Biar dia malu
          macam apa yang kita rasa.
Susan : Setuju!
Ashanti : Apa yang awak nak buat Erra?
Erra : Apa kata kita rakam gerak-geri Cikgu Mei secara sembunyi-sembunyi. Kemudian, kita
           sunting video rakaman itu dengan letakkan kapsyen yang kelakar dan memalukan. Lepas
           tu kita tunjuk rakaman tu pada murid-murid lain.
Susan : Atau… kita tangkap gambar Cikgu Mei, sunting gambar tersebut guna perisian
             komputer; dan kemudian letakkannya pada papan kenyataan sekolah. (Erra dan Susan
             ketawa besar).
Ashanti : Atau kita edarkannya di laman sosial Facebook? (Erra dan Susan terhenti dari ketawa).
Susan : Asha! Idea yang bijak!
Erra : Ohhh… Asha. Awaklah yang paling kejam di antara kita bertiga, sayangku!
 Ashanti : Nanti! Nanti! Nanti! Tapi saya tak nak terlibat dengan rancangan awak berdua ni.
Susan : Kenapa pula?
Ashanti : Saya takut…
Erra : Nak takutkan apa pula Asha? Awak ni pengecut betullah.
Susan : Ya. Awak dah lupa ke apa yang Cikgu Mei dah buat pada awak?
Erra : Dia dah malukan awak Asha! Awak mesti balas balik perbuatan Cikgu Mei bersama kami.
Susan : Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

Tiba-tiba Jannatul masuk mencelah perbualan mereka.

Jannatul : Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bagus peribahasa ni. Lagi bagus kalau kita 
                 gunakannya untuk kebaikan.
Ashanti : Jannatul!
Jannatul : Saya dah terdengar perbualan kamu bertiga. Minta maaf kalau saya masuk campur.
                 Tetapi Asha, Erra, Susan... pada pendapat saya, eloklah kamu bertiga batalkan niat
                 kamu itu.
Erra : Jannatul, awak pengawas sekolah. Awak tak pernah kena denda macam yang kami kena.
           Mudahlah bagi awak untuk menasihati kami.
Susan : Saya rasa baik kamu jangan masuk campur hal kami, Jannatul.
Jannatul : Saya menasihati kamu sebagai sahabat kamu semua. Saya tak nak lihat kamu bertiga
                didenda lagi disebabkan perkara seperti ini. Lagipun, kesalahan yang telah kamu
                semua lakukan sebelum ini adalah berpunca daripada sikap kamu sendiri.
Susan : Gantung bendera terbalik pun kena denda ke? Kami cuma main-main saja.
Jannatul : Memanglah bagi kamu perbuatan itu cuma gurauan… Tapi kamu tidak tahu yang
                 sebenarnya kamu telah melanggar satu prinsip dalam Rukun Negara kita.
Erra : Langgar prinsip Rukun Negara?
Jannatul : Kesopanan dan kesusilaan. Prinsip kelima dalam Rukun Negara. Beerti yang kita
                harus hormati negara ini dan apa saja yang berkaitan dengan perlembagaannya.
                Bendera Malaysia adalah lambang negara kita. Perbuatan kamu menterbalik
                bendera Malaysia seolah-olah kamu tidak menghormati negara ini.
Ashanti : Saya rasa, betul kata Jannatul itu.
Susan : Eh, Asha! Kamu lupa ke siapa yang tidak berdiri semasa menyanyikan Lagu Negaraku
              tadi?
Ashanti : Maaflah… Saya sedar kesalahan saya. Sebab itulah saya rasa kita tak patut teruskan
                rancangan kita untuk kenakan Cikgu Mei.
Erra : Cakap sajalah yang sebenarnya… awak tu pengecut!
Ashanti : Janganlah cakap macam tu Erra. Sebenarnya, saya takut saya berdosa pada Cikgu Mei
                 nanti. Saya juga akan berdosa pada tuhan kalau Cikgu Mei tak maafkan perbuatan
                 saya.
Jannatul : Kepercayaan kepada tuhan. Prinsip pertama Rukun Negara. Ya… Saya rasa awak kena
                 ikut saranan prinsip Rukun Negara yang pertama itu Asha. Sebagai panduan agar
                 awak tak teruskan perbuatan yang salah.
Erra : Baiklah, Jannatul. Saya akui apa yang awak cakap tu ada betulnya. Tapi… saya tetap rasa 
          Cikgu Mei tak patut mendenda kami semua di khalayak ramai. Malu tahu tak? Sudahlah
          saya ni ketua pasukan sorak sekolah yang cantik, menawan, dan diminati ramai.
Susan : Kami akan teruskan juga rancangan kami!

Tiba-tiba, Cikgu Mei lalu dan berhenti di hadapan mereka semua.

Susan : Cikgu Mei datang! Habislah! Nanti Jannatul laporkan rancangan kita pada dia. (Susan
              berbisik pada Erra).
Cikgu Mei : Hai semua! Apa yang kamu semua bincangkan di sini? Susan, berbisik-bisik
                     nampak? Ada rancangan menarik ke?
Jannatul : Salam sejahtera Cikgu! Tiada apa-apa. Kami berborak saja di sini.
Cikgu Mei : Berborak pasal apa? Pasal rancangan nak kenakan saya?
Semua murid : Eh! Tak lah cikgu… mana ada! Bergurau pula cikgu ni. Takde! Takde!
Cikgu Mei : Saya bergurau saja.
Ashanti : Em… Cikgu…
Cikgu : Ya, Ashanti. Ada apa-apa ke yang kamu nak beritahu saya? (Erra dan Susan sudah mula 
             menggelabah).
Ashanti : Saya cuma nak minta maaf kepada cikgu sebab tak berdiri semasa menyanyikan Lagu
                Negaraku dalam perhimpunan pagi tadi. (Erra dan Susan lega kerana mereka
                 menyangka Ashanti nak membongkarkan rancangan mereka).
Cikgu Mei : Ohhh… berkenaan hal pagi tadi? Tak mengapa. Saya dah maafkan kamu.
Ashanti : Terima kasih cikgu!
Cikgu Mei : Sebenarnya, saya pun nak minta maaf kepada kamu bertiga; Ashanti, Erra, Susan,
                    kerana telah mendenda kamu semua. Manalah tahu perbuatan saya telah
                    menyebabkan kamu berasa tidak puas hati.
Ashanti : Tak mengapa, cikgu.
Cikgu Mei : Saya mendenda kamu atas tujuan mendidik agar kamu sedar bahawa perbuatan
                     kamu itu salah dan tidak menghormati prinsip Rukun Negara kita. Perbuatan seperti
                     memain-mainkan bendera Malaysia dan tidak menghormati Lagu Kebangsaan
                     adalah satu kesalahan yang serius, tahu? Kamu masih ingat lagi prinsip Rukun
                    Negara kita yang kedua?
Jannatul : Kesetiaan kepada Raja dan Negara!
Cigu Mei : Yang ketiga?
Ashanti : Keluhuran perlembagaan.
Cikgu Mei : Yang keempat; Erra, Susan?
Erra & Susan : Errr… Kedaulatan Undang-undang?
Cikgu Mei : Ya, betul! Ketiga-tiga prinsip Rukun Negara ini menyarankan kepada kita bahawa
                     kita haruslah menghormati sistem perlembagaan negara ini. Oleh itu, kita tak
                     bolehlah main-mainkan perkara-perkara yang melambangkan negara kita seperti
                     bendera kebangsaan…..
Jannatul : Jalur Gemilang!
Cikgu Mei : …..dan juga lagu kebangsaan kita.
Ashanti : Negaraku!
Erra : Maafkan kami Cikgu Mei. Kami sedar kesalahan kami.
Susan : Kami tak sedar yang perkara sekecil itu telah melanggar prinsip Rukun Negara kita.
Ashanti : Kami berjanji yang kami tak akan ulang lagi kesilapan yang sama.
Jannatul : Terima kasih cikgu. Ucapan cikgu tadi tu, tiba-tiba membuatkan semangat patriotik
                 saya membara.         
Cikgu Mei : Baguslah kalau macam tu. Cuaca panas pun semakin membara juga ni, macam
                     semangat awak tu. Apa kata saya belanja awak semua pergi minum?
Susan : Yeay! Starbucks?
Cikgu Mei : Tak… Minuman kegemaran Malaysia saja; Teh Tarik Mamak!

Semua ketawa dan keluar minum bersama.

Tamat.



*Hakcipta skrip milik terpelihara penulis blog ini sepenuhnya. Dikongsi untuk tujuan pembelajaran. Keizinan untuk menggunakan skrip ini atas tujuan lain seperti pementasan, penerbitan, olahan semula ke dalam bentuk lain atau apa sahaja harus mendapat keizinan penulis dengan menghubungi melalui alamat emel : rizprahara@gmail.com


Saturday, 28 March 2015

PROMOSI PEMENTASAN TEATER JALAN MATI



PRODUKSI : TEATER JALAN MATI (PG13)
PENERBIT : KAIJU PRODUCTION DENGAN KERJASAMA PERSATUAN TEATER AKRAB    
                       DAN DEWAN BUDAYA USM
LOKASI : PANGGUNG SASARAN, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, P. PINANG
TARIKH : 10 & 11 APRIL 2015 (8.30 PM)
PAS MASUK : RM 10
INFO : 013 442 4052

SKRIP : LEIGH WHANELL (TERJEMAHAN ROYDY ANUAR)
PENGARAH : MAZLAN MAT RAZI
PENYELIA ARTISTIK : DR. MURALITHARAN
LAKONAN : TIOW (KENA MAIN), ED KOTA (TINGGI-TINGGI SI MATAHARI), & MIRA   
                        (BISIKAN MUSTIKA)
TENAGA PRODUKSI : KAIJU TEAM & CO.


Jalan Mati adalah sebuah naskhah yang diadaptasi dari filem Saw 1 karya Leigh Whannell. Naskhah pertama dari francais produksi filem psiko-thriller itu telah diterjemah ke Bahasa Malaysia oleh Roydy Anuar. Pada kali ini, naskhah ini diangkat pula oleh seorang pengarah teater muda berpengalaman, Mazlan Mat Razi.

Mazlan Mat Razi merupakan pelajar Tahun Akhir Kursus Lakonan & Pengarahan , Pusat Pengajian Seni USM dan kerja-kerja pengarahannya dalam pementasan kali ini akan dinilai sebagai Projek Tahun Akhir. Turut bergandingan dalam pementasan ini ialah Riz Zolkepli sebagai Scenographer, Ahmad 'Kay' Khairul sebagai Stage Manager, Mista Fixx sebagai Pereka Set, Shark Syazwan sebagai Ketua Unit Tasmat dan Kesan Khas; juga ahli Kaiju Production yang lainnya.

Para pelakon yang akan menjayakan pementasan ini pula ialah Tiow 'Ajis' Lampoyan Isaac sebagai Azam, Ed Kota sebagai Dr. Lokman, dan Mira sebagai Mayat. Gabungan pelakon yang berpengalaman dalam dunia pementasan teater menjadi tunjang kekuatan pementasan ini.

Tiow atau nama sebenarnya Nadzrul Zulkifli dipetik sebagai berkata, 

"Jika Teater Kena Main pada tahun 2014 menjadi kayu ukur permulaan kerjaya lakonan saya, saya yakin bahawa teater Jalan Mati ini pula menjadi kayu ukur tahap kematangan lakonan saya... Saya telah  memberikan yang terbaik untuk watak Azam dan saya berazam bahawa watak Azam ini berazam juga untuk memberikan lakonan yang terbaik hendaknya".

Jalan Mati mengisahkan dua orang lelaki iaitu Azam dan Dr. Lokman yang terperangkap dalam sebuah tandas usang dengan keadaan kaki mereka dirantai. Mereka kemudiannya dipaksa main satu permainan iaitu Permainan  Maut; yang mana hanya pemenangnya sahaja antara  mereka berdua dapat keluar hidup-hidup. Apakah langkah mereka seterusnya? Apakah mereka dapat keluar hidup-hidup? Saksikan... Jalan Mati pada 10 & 11 April 2015. 


PROMOSI PEMENTASAN TEATER 3 DARA TERBANG KE BULAN



PRODUKSI : TEATER TIGA DARA TERBANG KE BULAN
LOKASI : PANGGUNG SASARAN, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, P. PINANG
TARIKH : 16, 17, & 18 APRIL 2015 (8.30 P.M)
PAS MASUK : RM 10
INFO : 010 898 0237 (UCOP)

PENERBIT : KAIJU PRODUCTION
SKRIP : AIDLI ALIN MOSBIT
PENGARAH : IZZARDZAFLI PADZIL
PELAKON : FATHIN, AIN, & JUJU
TENAGA PRODUKSI : KAIJU TEAM & CO.


Tiga Dara Terbang ke Bulan (Tajuk asal : '... dan Tiga Dara Terbang ke Bulan') adalah naskhah asal penulis Aidli Alin Mosbit. Premis naskhah ini mudah, cerita tentang zaman kanak-kanak tiga orang wanita yang juga sahabat sejati yang penuh dengan warna-warni. Cerita tentang zaman nakal mereka dan keluh-kesah yang dialami seorang perawan menuju alam kedewasaan. Premis naskhah ini penuh dengan adegan lucu dan nostalgik; juga babak-babak yang dekat dengan diri penonton khasnya kaum Hawa.

Pengalaman bermain rakit, curi-curi keluar malam, ponteng puasa, cuba-cuba hisap rokok, cakap-cakap cinta monyet... semuanya disentuh dalam naskhah ini yang berdurasi lebih kurang 1 jam pementasan. Walaupun isu yang diutara penulis tidaklah berat tetapi ia bermain dengan persoalan tentang hubungan persahabatan dan perubahan yang berlaku dalam hidup; satu tema yang tidak boleh tidak dialami oleh semua manusia.

Tambah menarik, pementasan kali ini akan disampaikan dalam bentuk teater fizikal bawah arahan pengarah Izzardzafli Padzil, seorang aktivis teater yang bertapak di Pulau Pinang. Ini juga adalah pementasan 'comeback' buatnya setelah sekian lama tidak terlibat dalam kerja-kerja pengarahan dan antara karya yang ditunggu-tunggu peminat.

Pementasan kali ini adalah bersempena Penilaian Tahun Akhir Pelajar Major Lakonan & Pengarahan, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia. Pelajar yang dinilai sebagai pelakon dalam pementasan ini ialah Nurul Fathin dan Nur Ain, pelajar tahun akhir. Manakala Juju pula merupakan pelajar Tahun 1 Kursus Lakonan & Pengarahan.

"Biarpun tidak pernah terlibat dalam teater fizikal seperti ini, namun saya yakin saya boleh memberikan yang terbaik untuk audiens... Tambah pula latihan intensif cukup memberi impak yang menakjubkan ke atas mutu lakonan dan juga berat badan saya", ujar Nurul Fathin apabila ditanya mengenai persediaannya menghadapi pementasan ini.

Untuk mendapatkan pas masuk bernilai RM 10, anda boleh menghubungi talian 010 898 0237 (Ucop) atau datang secara terus ke kaunter box office pada hari pementasan.