Monday, 27 February 2017

Kerana Kamu Istimewa (Sebuah penghargaan kepada teman OKU)

Kerana Kamu Istimewa

(Sebuah penghargaan kepada teman OKU)

Skrip : Noor Rizuwan



Opening.
Muzik dimainkan (seruling / akustik) Lagu ‘Namunku Punya Hati’. Masuk Narator 1, 2, dan 3 dalam gerak stylize yang menggambarkan kepayahan OKU bergerak / menjalani kehidupan seharian. Namun gerakan dipertonton dalam koreografi yang harmoni dan tidak terlalu realistik :

Narator 1 berkeadaan seperti OKU buta - Menutup mata dengan kedua belah tangan, 
Narator 2 seperti OKU cacat pendengaran - Menutup telinga dengan kedua belah tangan, Narator 3 seperti OKU tempang kakinya - Menunjukkan kepayahan bergerak, kaku.



Narator 3 :
Tidak ku pinta lahir ke dunia… (Menyanyi).

Narator 2 :
Tidak ku duga… (Menyanyi).

Narator 1 :
(Potong). Tidak ku pinta, tidak ku duga, tidak ku sangka. Tidak ada siapa pun yang menjangka.

Narator 3 :
Tidak aku duga bertongkat begini. Tak mampu melangkah dengan sempurna, berlari…

Narator 2 :
Tidak ku pinta kurang sebegini. Hendak memahami, tak boleh ku dengari.

Narator 1 :
Bukan aku sengaja, meraba dalam gelita. Cuma pancaindera, tak sempurna nak melihat rupa dan warna.

Narator 1 :
Mungkin kami berbeza, tak sama seperti kalian semua.
(Narator 2 & 3 : Kerana kami istimewa!)

Narator 2 :
Tapi masih lagi seorang manusia. Punya impi hati yang sama, rasa yang serupa.
(Narator 1 & 3 : Kerana kami istimewa!)

Narator 3 :
Mahu berjaya di dunia, di akhirat bertemu syurga.
(Narator 1 & 2 : Kerana kami istimewa!)



Muzik sedikit rancak dimainkan. Narator 1, 2, dan 3 bergerak kembali dalam gerak stylize seperti opening tetapi dalam tempo yang lebih agresif. Gerak kemudiannya bersambung ke koreografi lakon fizikal (slapstik) :

1.     Narator 1 jalan bertongkat dan teraba-raba seperti OKU buta. Narator 2 & 3 mengejek, mengumpat dan mengetawakan (tanpa suara). Kemudian mengusik Narator 1 dengan mencuit badannya dan kemudian berlari.

2.     Narator 3 berjalan dengan kepayahan seperti OKU tempang kaki. Narator 1 & 2 mengajuk cara Narator 3 berjalan di belakangnya. Apabila Narator 3 menoleh ke belakang, mereka buat seperti tiada apa-apa berlaku.
Narator 1, 2, & 3 gerak stylize semula dan kemudian berdiri dalam spot masing-masing.



Narator 2 :
Teringat aku di zaman kecil. Ketika waktu tak tahu apa. Bermain riang bersama rakan sebaya. Macam tiada beza. Mungkin ketika itu aku naif tentang dunia, melihat dunia seperti mungkin seadanya. Adil dan saksama.

Tapi kemudian berubah, apabila meningkat dewasa dan bersekolah… baru aku perasan aku berbeza. Aku tak tahu angka, mengeja ataupun membaca. Saat semua gembira belajar bersama, hanya aku rasa teraniaya. Aku telah cuba! Telah cuba menutur suku kata. Mengeja. Membaca. Namun semuanya sukar bagiku. Tulisan, huruf, dan angka umpama mahu membunuh aku, membenci aku!

Mereka kata aku bodoh! Kawan-kawan mengejek aku. Cikgu menyalahkan aku. Ibu mengharap aku mampu. Tetapi aku tak boleh! Aku tak tahu kenapa. Aku dah cuba!

Aku… disleksia. Aku… istimewa.

Narator 1 :
Warna dan rupa? Aku tak tahu. Aku OKU buta. Lahir tanpa kornea. Tapi aku tahu membaca  Braille. Syukur aku dihantar ke sekolah khas untuk orang cacat penglihatan, dengan bantuan kerajaan. Belajar segala ilmu seperti pelajar normal yang lain. Mungkin cara belajar sedikit berbeza, tapi tujuannya tetap sama. Mahu menjadi orang berilmu dan berjaya. Tapi saat aku nak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi; ada suara-suara berbunyi :

“Alaaa… Man, tak payahlah kau belajar tinggi-tinggi. Pandai baca tulisan orang buta tu pun dah cukup baik.”

“Man, hang lepaih habih ngaji sekolah esok... Hang join aku je lah. Kita pi juai tisu kat Komtar. Toksah ngaji tinggi-tinggi sangat orang buta macam kita ni.”

“Duduk rumah je Man. Nanti bantuan JKM masuk jugak.”

Tapi aku percaya, OKU juga boleh berjaya. Kalau yang lain boleh menggoncang dunia, kenapa OKU harus duduk diam saja? Menerima takdir dengan redha dan bersengsara. Kita juga sama, tiada bezanya. Berhak merasai secalit kejayaan dunia. Tak ambil pusing apa orang kata, kini aku berjaya. Pemegang biasiswa khas, mahasiswa universiti awam peringkat sarjana.

Aku… buta. Aku… istimewa.

Narator 3 :
Pada asalnya saya sempurna, cukup anggota. Boleh bekerja, berjalan, dan berlari. Siapa sangka kemalangan meragut kedua belah kaki ini. Benarlah kata orang, kemalangan tidak berbau. Kereta yang dipandu terbabas di bahu jalan; kaki terpaksa dipotong. Selepas itu, hidup umpama gelita. Hilang semangat. Rasa macam diri dah tak ada apa-apa.

Tapi Alhamdulillah… saya masih ada keluarga. Merekalah yang memberi dorongan semangat dan kata-kata. Saya dihantar ke pusat kemahiran orang kurang upaya. Pelajari ilmu niaga. Sesuatu yang dulu tidak pernah saya mahu tahu. Kemudian, dengan Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU, saya mula berniaga kecil-kecilan. Perniagaan bertambah maju dan berkembang. Tak jangka, saya lebih berjaya sekarang berbanding semasa sempurna dulu.

Saya… OKU. Saya… istimewa.



Muzik tiupan seruling akustik / minus one Lagu ‘Namunku Punya Hati’ dimainkan sebagai latar semasa para Narator berdialog.



Narator 1 :
Tidak ku pinta lahir ke dunia… (Menyanyi).

Narator 2 :
Tidak ku duga… (Menyanyi).

Narator 3 :
(Potong). Tidak ku pinta, tidak ku duga, tidak ku sangka. Tidak ada siapa pun yang percaya, kami OKU bisa berjaya.

Narator 1 :
Memang benar aku buta, tapi hanya buta mata… Bukan hati atau minda.

Narator 2 :
Memang benar aku tuli. Tuli ini anugerah Illahi. Mengelak dari mendengar keji dan caci.

Narator 3 :
Memang benar aku tempang, perlukan bantuan segala serampang. Tapi langkahku tidak songsang. Setiap jejak ke jalan terang.

Narator 1 :
Benar aku disleksia. Tak tahu huruf, sukar membaca, dan mengeja. Tapi aku bahagia, mengenal dunia dari kaca mata berbeza.

Narator 2 :
Jangan memanggil kami dengan nama tercela.
Usah mengejek kami dengan nista.
Tak perlu sakiti kami dengan kata hina.

Narator 3 :
Kami juga manusia biasa.
Punyai hati yang sama.
Walau kami kurang anggota;
hati kami ikhlas bernyawa.

Narator 1, 2, dan 3 :
Stigma itu hanya pada mata.
Setiap insan adalah juara.
Setiap insan adalah istimewa.

Walau dalam kekangan anggota,
 kami lebih bebas di jiwa.
Lebih sering menghargai nyawa.

Tiada apa untuk berlumba.
Kerna akhirnya, kita semua sama di mata-Nya…
Ya Rabb Pemberi Cahaya.

Nick Vujicic pernah membuktikan,
kejayaan itu tak perlukan kaki dan tangan.
Hanya secebis percaya diri, usaha dan harapan.
Menjadi pakar motivasi dunia, menolong insan.

Ludwig Beethoven pernah berjaya,
mencipta muzik terkenal serata dunia.
Walau tak dengar bunyi di telinga,
dia hanya perlu percaya dan rasa.

Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ismail Salleh.
Contoh terbaik OKU gigih.
Beliau adalah insan terpilih.
Pelbagai anugerah yang telah diraih.

Maka sedarlah teman-teman seperjuangan OKU ku,
semua bangkit berganding bahu.
Percayakan diri dan tetapkanlah arah tuju.

Kita semua boleh berjaya,
setiap bidang selagi usaha.
Pembuatan, perusahaan, kraf tangan, dan juga niaga.

Tiada apa yang mustahil dalam dunia,
kerana kamu… Insan Istimewa!



Ketiga-tiga Narator tabik hormat kepada penonton (kepada OKU) dan kemudian tunduk.
Keluar pentas. Tamat.



Nota : 
* Skrip ini ditulis khas untuk dipentaskan sempena Hari OKU Kebangsaan 2016 di Pulau    Langkawi. Pementasan dibuat oleh Grup Teater Resdong di hadapan tetamu kehormat isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor serta tokoh-tokoh OKU Kebangsaan.

*Terdapat perubahan dan penambahan ke atas skrip untuk tujuan pementasan.

*Untuk penggunaan skrip ini atas apa-apa tujuan pementasan, anda boleh minta izin guna di rizprahara@gmail.com

Festival Monolog 2K17




Tarikh : 10 Mac 2017 (8.30 malam)
Lokasi : Panggung Pelenggam Cahaya, Pusat Pengajiian Seni, USM. 
Tiket : RM5.00 (Pelajar)
           RM10.00 (Orang awam & Staff USM)



Jabatan Drama & Teater di bawah Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia telah banyak melahirkan pendidik, penggiat, dan aktivis seni lakon dan pengarahan semenjak ia ditubuhkan. 

Ramai nama besar yang memeriahkan arena seni tempatan lahir dari pusat pengajian ini.
Pada bulan Mac ini, generasi pelapis seterusnya iaitu pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kursus Lakonan & Pengarahan di Bahagian Drama & Teater, USM menganjurkan 'Festival Monolog 2K17'.

Difahamkan, seramai 38 orang pelajar / peserta mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Peringkat saringan pertandingan diadakan pada 1 & 2 Mac 2017 di Permatang Pelajar pada jam 12.00 - 1.00 petang, dan 5.00 - 6.00 petang. Manakala finalis yang berjaya dalam peringkat saringan itu nanti, akan bertanding sesama sendiri pada malam Gala yang akan berlansung di Panggung Pelenggam Cahaya pada 10 Mac 2017, 8.30 malam.


Sama-samalah kita memeriahkannya...






Saturday, 25 February 2017

Pementasan 3 Monolog 'Knife Bed Chair' oleh TIGA.



Ruang pementasan kecil SINKEH by REKA Art Space sdn. bhd. pada tahun 2017 dimulai oleh produksi dari Kuala Lumpur ini, 'Knife Bed Chair' seliaan TIGA di bawah sokongan Five Arts Centre.

Pementasan 'tiga monolog dalam satu malam' ini difahamkan  terhasil dari program bengkel yang dijalankan TIGA dalam usaha mencungkil dan mengembangkan bakat serta potensi artis-artis muda dalam menghasilkan karya mereka sendiri. Ia dimulai pada tahun 2015 yang lalu. Program ini seiring dengan program seumpamanya di P. Pinang oleh REKA Art Space melalui payung 'Initiate, Develop, Perform'.

Kalau di P. Pinang, 'Initiate, Develop, Perform' telah menghasilkan beberapa buah persembahan seperti 'The Wanderer', 'Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota',  'Siapa Salbiah?' , 'Plastic City', dan 'Rashomon'... TIGA pula menghasilkan tiga monolog ini :

Bed - Kisah seorang perempuan muda dan persoalan hubungan. Dia masih belum sedia untuk komitmen perhubungan, tetapi pada masa yang sama tidak tega hidup sendiri. Maka apabila hubungan dibina mulai berantakan, dia tersedar sejauh mana dia boleh lakukan untuk hubungan itu.

Chair - Seorang gadis terperangkap dalam satu lohong - tidak akan bergerak ke depan tanpa dia meninggalkan masa lalunya. Dia kembali kepada kenangan ibunya, nekad membuat keputusan.

Knife - Seorang dara berbicara tentang seksualiti yang janggal pada mata masyarakat.
Katanya, 'seks itu tabu, tapi tidak kalau kamu memperolok tentangnya!'

Persembahan ini akan berlansung selama tiga malam bermula 9 Mac 2017 hingga 11 Mac 2017 - jam 8.30 malam. Harga tiket RM 10. Limitasi kepada 40 orang penonton bagi satu malam persembahan. Penonton dinasihat membuat tempahan awal melalui nombor telefon dan emel tertera dalam poster di atas atau sekurang-kurangnya datang satu jam sebelum waktu pementasan bagi mengelakkan kekecewaan tidak dapat tempat duduk akibat kuota penuh. 

Berikut adalah barisan pengarah dan pelakon :

Pengarah :Andy Darrel,Arshad Adam, dan Sharifah Amani.

Pelakon :Sharifah Aryana,Sharifah Aleysha, danAnissa Azis.



Hebahan awal :  Selepas pementasan dari TIGA ini, Siri 'Wayang diSINKEH' akan diteruskan pada tahun ini sekali lagi selama tiga bulan bermula Jun hingga Ogos 2017! Setiap hujung minggu di SINKEH 105 Lebuh Melayu Georgetown P. Pinang. Jangan terlepas peluang anda menyaksikannya...