Kerana Kamu Istimewa
(Sebuah penghargaan kepada teman OKU)
Skrip : Noor Rizuwan
Opening.
Muzik dimainkan (seruling / akustik)
Lagu ‘Namunku Punya Hati’. Masuk Narator 1, 2, dan 3 dalam gerak stylize yang menggambarkan kepayahan OKU
bergerak / menjalani kehidupan seharian. Namun gerakan dipertonton dalam
koreografi yang harmoni dan tidak terlalu realistik :
Narator 1 berkeadaan seperti OKU buta - Menutup mata dengan kedua belah tangan,
Narator 2 seperti OKU cacat pendengaran - Menutup telinga dengan kedua belah tangan, Narator 3 seperti OKU tempang kakinya - Menunjukkan kepayahan bergerak, kaku.
Narator 3 :
Tidak ku pinta lahir
ke dunia… (Menyanyi).
Narator 2 :
Tidak ku duga…
(Menyanyi).
Narator 1 :
(Potong). Tidak ku
pinta, tidak ku duga, tidak ku sangka. Tidak ada siapa pun yang menjangka.
Narator 3 :
Tidak aku duga
bertongkat begini. Tak mampu melangkah dengan sempurna, berlari…
Narator 2 :
Tidak ku pinta kurang
sebegini. Hendak memahami, tak boleh ku dengari.
Narator 1 :
Bukan aku sengaja,
meraba dalam gelita. Cuma pancaindera, tak sempurna nak melihat rupa dan warna.
Narator 1 :
Mungkin kami berbeza,
tak sama seperti kalian semua.
(Narator 2 & 3 :
Kerana kami istimewa!)
Narator 2 :
Tapi masih lagi
seorang manusia. Punya impi hati yang sama, rasa yang serupa.
(Narator 1 & 3 :
Kerana kami istimewa!)
Narator 3 :
Mahu berjaya di
dunia, di akhirat bertemu syurga.
(Narator 1 & 2 :
Kerana kami istimewa!)
Muzik sedikit rancak dimainkan. Narator
1, 2, dan 3 bergerak kembali dalam gerak stylize
seperti opening tetapi dalam tempo
yang lebih agresif. Gerak kemudiannya bersambung ke koreografi lakon fizikal (slapstik) :
1. Narator
1 jalan bertongkat dan teraba-raba seperti OKU buta. Narator 2 & 3
mengejek, mengumpat dan mengetawakan (tanpa suara). Kemudian mengusik Narator 1
dengan mencuit badannya dan kemudian berlari.
2. Narator
3 berjalan dengan kepayahan seperti OKU tempang kaki. Narator 1 & 2
mengajuk cara Narator 3 berjalan di belakangnya. Apabila Narator 3 menoleh ke
belakang, mereka buat seperti tiada apa-apa berlaku.
Narator 1, 2, & 3 gerak stylize semula dan kemudian berdiri
dalam spot masing-masing.
Narator 2 :
Teringat aku di zaman
kecil. Ketika waktu tak tahu apa. Bermain riang bersama rakan sebaya. Macam
tiada beza. Mungkin ketika itu aku naif tentang dunia, melihat dunia seperti
mungkin seadanya. Adil dan saksama.
Tapi kemudian
berubah, apabila meningkat dewasa dan bersekolah… baru aku perasan aku berbeza.
Aku tak tahu angka, mengeja ataupun membaca. Saat semua gembira belajar
bersama, hanya aku rasa teraniaya. Aku telah cuba! Telah cuba menutur suku
kata. Mengeja. Membaca. Namun semuanya sukar bagiku. Tulisan, huruf, dan angka
umpama mahu membunuh aku, membenci aku!
Mereka kata aku
bodoh! Kawan-kawan mengejek aku. Cikgu menyalahkan aku. Ibu mengharap aku
mampu. Tetapi aku tak boleh! Aku tak tahu kenapa. Aku dah cuba!
Aku… disleksia. Aku…
istimewa.
Narator 1 :
Warna dan rupa? Aku
tak tahu. Aku OKU buta. Lahir tanpa kornea. Tapi aku tahu membaca Braille. Syukur aku dihantar ke sekolah
khas untuk orang cacat penglihatan, dengan bantuan kerajaan. Belajar segala
ilmu seperti pelajar normal yang lain. Mungkin cara belajar sedikit berbeza, tapi
tujuannya tetap sama. Mahu menjadi orang berilmu dan berjaya. Tapi saat aku nak
meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi; ada suara-suara berbunyi :
“Alaaa… Man, tak payahlah kau belajar
tinggi-tinggi. Pandai baca tulisan orang buta tu pun dah cukup baik.”
“Man, hang lepaih habih ngaji sekolah
esok... Hang join aku je lah. Kita pi juai tisu kat Komtar. Toksah ngaji
tinggi-tinggi sangat orang buta macam kita ni.”
“Duduk rumah je Man. Nanti bantuan JKM
masuk jugak.”
Tapi aku percaya, OKU
juga boleh berjaya. Kalau yang lain boleh menggoncang dunia, kenapa OKU harus duduk
diam saja? Menerima takdir dengan redha dan bersengsara. Kita juga sama, tiada
bezanya. Berhak merasai secalit kejayaan dunia. Tak ambil pusing apa orang kata,
kini aku berjaya. Pemegang biasiswa khas, mahasiswa universiti awam peringkat
sarjana.
Aku… buta. Aku…
istimewa.
Narator 3 :
Pada asalnya saya
sempurna, cukup anggota. Boleh bekerja, berjalan, dan berlari. Siapa sangka
kemalangan meragut kedua belah kaki ini. Benarlah kata orang, kemalangan tidak
berbau. Kereta yang dipandu terbabas di bahu jalan; kaki terpaksa dipotong.
Selepas itu, hidup umpama gelita. Hilang semangat. Rasa macam diri dah tak ada
apa-apa.
Tapi Alhamdulillah…
saya masih ada keluarga. Merekalah yang memberi dorongan semangat dan
kata-kata. Saya dihantar ke pusat kemahiran orang kurang upaya. Pelajari ilmu
niaga. Sesuatu yang dulu tidak pernah saya mahu tahu. Kemudian, dengan Skim
Bantuan Galakan Perniagaan OKU, saya mula berniaga kecil-kecilan. Perniagaan
bertambah maju dan berkembang. Tak jangka, saya lebih berjaya sekarang
berbanding semasa sempurna dulu.
Saya… OKU. Saya…
istimewa.
Muzik tiupan seruling akustik / minus
one Lagu ‘Namunku Punya Hati’ dimainkan sebagai latar semasa para Narator
berdialog.
Narator 1 :
Tidak ku pinta lahir
ke dunia… (Menyanyi).
Narator 2 :
Tidak ku duga…
(Menyanyi).
Narator 3 :
(Potong). Tidak ku
pinta, tidak ku duga, tidak ku sangka. Tidak ada siapa pun yang percaya, kami
OKU bisa berjaya.
Narator 1 :
Memang benar aku
buta, tapi hanya buta mata… Bukan hati atau minda.
Narator 2 :
Memang benar aku
tuli. Tuli ini anugerah Illahi. Mengelak dari mendengar keji dan caci.
Narator 3 :
Memang benar aku
tempang, perlukan bantuan segala serampang. Tapi langkahku tidak songsang.
Setiap jejak ke jalan terang.
Narator 1 :
Benar aku disleksia.
Tak tahu huruf, sukar membaca, dan mengeja. Tapi aku bahagia, mengenal dunia
dari kaca mata berbeza.
Narator 2 :
Jangan memanggil kami
dengan nama tercela.
Usah mengejek kami
dengan nista.
Tak perlu sakiti kami
dengan kata hina.
Narator 3 :
Kami juga manusia
biasa.
Punyai hati yang
sama.
Walau kami kurang
anggota;
hati kami ikhlas
bernyawa.
Narator 1, 2, dan 3 :
Stigma itu hanya pada
mata.
Setiap insan adalah
juara.
Setiap insan adalah
istimewa.
Walau dalam kekangan
anggota,
kami lebih bebas di jiwa.
Lebih sering
menghargai nyawa.
Tiada apa untuk
berlumba.
Kerna akhirnya, kita
semua sama di mata-Nya…
Ya Rabb Pemberi
Cahaya.
Nick Vujicic pernah
membuktikan,
kejayaan itu tak
perlukan kaki dan tangan.
Hanya secebis percaya
diri, usaha dan harapan.
Menjadi pakar
motivasi dunia, menolong insan.
Ludwig Beethoven
pernah berjaya,
mencipta muzik
terkenal serata dunia.
Walau tak dengar
bunyi di telinga,
dia hanya perlu
percaya dan rasa.
Allahyarham Prof.
Dato’ Dr. Ismail Salleh.
Contoh terbaik OKU
gigih.
Beliau adalah insan
terpilih.
Pelbagai anugerah
yang telah diraih.
Maka sedarlah
teman-teman seperjuangan OKU ku,
semua bangkit
berganding bahu.
Percayakan diri dan
tetapkanlah arah tuju.
Kita semua boleh
berjaya,
setiap bidang selagi
usaha.
Pembuatan,
perusahaan, kraf tangan, dan juga niaga.
Tiada apa yang
mustahil dalam dunia,
kerana kamu… Insan
Istimewa!
Ketiga-tiga Narator tabik hormat kepada
penonton (kepada OKU) dan kemudian tunduk.
Keluar pentas. Tamat.
Nota :
* Skrip ini ditulis khas untuk dipentaskan sempena Hari OKU Kebangsaan 2016 di Pulau Langkawi. Pementasan dibuat oleh Grup Teater Resdong di hadapan tetamu kehormat isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor serta tokoh-tokoh OKU Kebangsaan.
*Terdapat perubahan dan penambahan ke atas skrip untuk tujuan pementasan.
*Untuk penggunaan skrip ini atas apa-apa tujuan pementasan, anda boleh minta izin guna di rizprahara@gmail.com
No comments:
Post a Comment